feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Malu perisai remaja terjebak perbuatan tak bermoral

Oleh Aminudin Mansor

Perasaan aib separuh daripada iman, mampu membentuk generasi berakhlak mulia

SIFAT malu antara sifat yang patut ada dalam diri setiap remaja Islam. Bagaimanapun, sifat malu mesti bertempat kerana kita tidak mahu remaja terhalang mengejar kemajuan oleh sebab sifat malu yang terlalu tebal. Sedihnya, melihat kepada sikap remaja sekarang seakan mereka sudah hilang sifat ini.

malu dapat diistilahkan sebagai berasa aib (hina, rendah) kerana membuat sesuatu yang salah atau tidak sopan, berasa tidak senang melakukan perkara yang dilarang Allah.

Manusia diciptakan Allah dengan sempurna. Sifat yang patut ada dalam diri seseorang insan adalah malu. Buah daripada keampunan Allah adalah rasa malu kepada Allah jika melakukan perbuatan terlarang.


Jika manusia mengetahui Allah sudah memberikan pelbagai kenikmatan kepada mereka seperti mata yang dapat melihat, telinga yang boleh mendengar dan lidah boleh berkata-kata, sepatutnya mereka malu melakukan maksiat dengan nikmat diberikan itu. Jika malu tidak ada dalam diri seseorang, maka itu alamat kehancuran bagi manusia. Hilangnya malu akan menarik pelbagai perbuatan maksiat dan kerosakan di muka bumi.


Bagi remaja, malu adalah segala yang mencegah daripada merosak akhlak. Sikap itu terjadi jika seseorang selalu bergaul dengan orang beriman, berilmu pengetahuan dan mempunyai budi pekerti yang luhur.

Orang yang memiliki rasa malu, apabila melakukan sesuatu yang tidak patut baginya, maka pada wajahnya nampak berubah menjadi pucat lesi sebagai tanda penyesalan terhadap keterlanjuran dilakukan. Ia menunjukkan hati kecilnya hidup, batinnya suci dan bersih.

Sebaliknya, bagi orang yang sudah tidak memiliki rasa malu, dia seronok apabila melakukan perbuatan yang tidak patut dilakukan sekalipun ramai orang mengetahuinya, bahkan bangga menayangkan tingkah laku negatif itu.


Malu diwajibkan oleh agama kerana malu adalah termasuk sebahagian daripada iman. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Malu itu sebahagian daripada iman." (Hadis riwayat Muslim dan At-Tirmidzi dari Ibnu Umar)

Islam mengingatkan umatnya supaya memperhatikan rasa malu, kerana rasa malu termasuk sebahagian daripada iman, juga menjadi sebab terbentuknya akhlak mulia. Apabila hilang rasa malu akan rosaklah akhlaknya.

Dalam hal itu, Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya semua agama itu mempunyai akhlak dan akhlak Islam itu berperangai malu." (Hadis riwayat Imam Malik)

Tokoh Islam, Sulaiman Darani, pernah berkata: "Seseorang yang berbuat sesuatu perbuatan kerana didorong oleh empat sebab: didorong oleh rasa takut, mengharap pahala, mengagungkan Allah, rasa malu. Semulia-mulia mereka ialah orang yang berbuat kerana malu."

Sikap malu bersumber kepada keyakinan bahawa Allah selalu melihat kepadanya pada setiap waktu dan keadaan. Namun, jika malu berbuat kebajikan lebih besar daripada malu berbuat kemaksiatan, mereka akan mendapat balasan daripada Allah.

Kita pernah mendengar peribahasa Melayu yang mengatakan, "Malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan."

Sifat malu seperti itu tidak wajar ada dalam masyarakat kerana disebabkan terlalu pemalu sehingga menyusahkan diri sendiri.

Apa yang ditegaskan ialah sifat malu melakukan sesuatu bertentangan dengan ajaran Islam. Sifat malu seperti itu amat dituntut dalam pendidikan rohani.

Rasulullah SAW adalah seorang yang terlalu baik perangainya, seorang yang mulia akhlaknya, tinggi ketaatan kepada perintah Allah dan selalu menahan diri daripada segala larangan-Nya.

Diriwayatkan daripada Abi Sa'id al-Khudri ia berkata yang maksudnya: "Rasulullah SAW adalah lebih pemalu daripada gadis dalam pingitan. Dan apabila terjadi sesuatu yang tidak disukainya, kami dapat mengenal daripada wajahnya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Kajian ahli psikologi mengatakan, sifat malu dapat membantu membaiki akhlak sementara sifat pemalu yang tidak betul pada tempatnya boleh menjejaskan imej seseorang.

Jika rasa malu pada diri manusia itu sudah hilang, maka secara beransur-ansur keadaannya makin buruk, sifat insannya menurun hingga kepada darjat paling rendah.

Oleh itu, asuhan sejak kecil adalah penting kepada anak supaya mereka memiliki sifat malu yang positif iaitu mengikut ajaran Islam. Tugas ibu bapa penting dalam mendidik anak dengan menanamkan rasa dan sifat malu ini.

Sudah menjadi fitrah kejadian manusia bahawa apabila manusia yang diberi akal sempurna hilang daripadanya sifat malu, maka ia akan menjadi ganas dan bahkan lebih ganas daripada haiwan yang tidak berakal.

Manusia yang hilang rasa malu, akan berbuat semahunya sendiri, tidak mempedulikan adanya aturan dan kesopanan yang ada dalam masyarakat. Tidak hairan jika berlaku gejala bohsia, lari dari rumah, bersekedudukan, terbabit penagihan dadah dan perzinaan.

Remaja hari ini berdepan pelbagai cabaran dan sifat malu mampu mengelakkan diri mereka terjebak perbuatan tidak bermoral. Sifat malu juga mendorong remaja menjaga serta memperbaiki akhlak mereka.

Berbekalkan iman yang kuat serta bimbingan daripada ibu bapa, remaja akan dapat menghindarkan segala perbuatan yang boleh merosakkan diri, bangsa dan negara. Remaja hari ini harapan negara pada masa depan dan pastinya dibahu mereka tertanggung tanggungjawab besar.


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Agama/20081114222429/Article/index_html




0 comments:

Post a Comment

Sponsored Ads