feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Persoalan Agama: Tujuh ibadah terbaik diamalkan akhir 10 Ramadan

Berita harian online

Bersama Jakim

Apakah amalan terbaik dilakukan pada 10 malam terakhir Ramadan.

Abdul Rahim Bakri
Muar, Johor


Antara amalan terbaik dilakukan pada 10 malam terakhir Ramadan ialah:



  • Melakukan solat sunat Rawatib, Tarawih dan sunat lain.

  • Memperbanyakkan berdoa seperti "Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, maka ampunkan aku".

  • Berzikir menyebut nama Allah, firman Allah SWT, "Berzikirlah kepada Tuhanmu dalam dirimu (hatimu) dengan penuh perasaan rendah hati dan takut dan bukan dengan suara keras pada waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau sampai dikira orang yang lalai."(Al- A'raf :205).

  • Memperbanyakkan sedekah kepada kaum kerabat dan fakir miskin. Hadis riwayat Bukhari Muslim menyatakan Nabi Muhammad SAW paling pemurah membuat kebajikan lebih-lebih lagi pada Ramadan ketika Baginda SAW dikunjungi Malaikat Jibril.

  • Beriktikaf di masjid terutama pada 10 hari terakhir Ramadan kerana ini cara terbaik untuk menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang dilarang, sebaliknya memberi rangsangan untuk melakukan perkara yang disuruh. Diharap dengan beriktikaf akan ditemui lailatul qadar kerana ia berlaku pada 10 malam terakhir. Disebut dalam kitab Fath al-Qadir daripada Aishah r.a. berkata "Apabila masuk 10 hari terakhir Ramadan, Nabi banyak berjaga kerana ibadah, Baginda membangunkan keluarganya mengasingkan diri daripada isterinya."

  • Qiamullail iaitu bangun beribadat pada malam hari. Kelebihannya seperti difirman Allah Taala bermaksud "Dan bangun pada sebahagian daripada malam serta kerjakan "sembahyang Tahajud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat terpuji." (al- Isra': 79)




  • Sekadar Renungan Bersama

    Oleh : Mohd Rahaizad ( Setiausaha Agong ALAM)
    http://embunhidayah.blogspot.com

    • Seseorang yang masuk kerja pukul 8.35 pagi sedangkan waktu kerja adalah 8.35 pagi dah dikira lewat datang kerja. Tetapi jika seseorang itu sembahyang Zohor pukul 2.00 petang atau 2.30 petang masih dikira awal waktu mengikut tafsiran umum sedangkan masuk waktu Zohor di Semenanjung Malaysia adalah sekitar 1.15-1.30 petang. Bukankah ini salah faham namanya?
    • Kita mengutuk dan mengeji Amerika terutamanya di saat pencerobohan Amerika pada beberapa negara Islam. Tetapi aneh ramai daripada kita tidak boleh meninggalkan rokok yang sebahagiannya dibuat oleh syarikat Amerika. Tidak kurang juga di kalangan kita yang menjadi peminat dan pembeli setia filem-filem Amerika yan kaya dengan propaganda, terutamanya filem-filem aksi perang dan perang. Di satu sudut kita jadi penentang dan di satu sudut yang lain kita menyokong mereka. Adakah ini maknanya benci tapi sayang?
    • Kalau ada pelancaran skim-skim amanah saham maka berduyun-duyunlah masyarakat pergi melabur untuk masa depan katanya. Tetapi jika ada pelancaran Tabung Derma (saham Akhirat) untuk membantu pihak-pihak yang memerlukan, untuk mengumpul satu juta RM pun cukup payah dari rakyat Malaysia. Malah ada yang mengambil masa berbulan-bulan walau mendapat publisiti meluas melalui media massa. Mana yang lebih kita cinta?
    • Kita sangat sensitif dan terharu apabila mendengar ada ibu bapa yang mendera fizikal anak-anak dan yang membuang bayi di merata-rata tempat. Tetapi kita jarang berasa sedih dan terharu apabila ramai ibu bapa yang mendera anak-anak, secara maknawinya tidak mendidik anak-anak menjadi anak-anak yang soleh seperti mengenal Allah, sembahyang, hormat orang tua, tutup aurat dan sebagainya agar tidak didera oleh malaikat di dalam kubur dan di akhirat nanti. Bukankah perbuantan ini juga boleh diibaratkan buang anak juga iaitu buang anak dalam neraka?mana lebih hina?
    • Kita selalunya akan cepat-cepat mengucap terima kasih pada sesiapa yang membantu kita dan mengenang budinya sampai bila-bila. Tetapi dengan Tuhan yang memberikan kita segala nikmat yang tak terhintung banyaknya, setiap detik dan masa, kita jarang rasa terhutang budi dan berterima kasih setiap masa dengan cara yang dituntut-Nya.
    • Kita pasti berasa malu dan terhina bila ada orang yang mendedahkan keaiban kita. Tetapi tidak pun rasa malu dengan Tuhan yang sudah sedia tahu kesalahan kita lahir dan batin, kecil dan besar.
    • Kita selalu rasa dia salah, dia jahat, dia tidak betul, dia menyeleweng dan sebagainya. Tetapi kita jarang sekali berfikir “aku jahat, aku berdosa, aku tidak betul, aku bersalah, kerana aku dia jadi begitu” sedangkan sikap-sikap ini dianjurkan.
    • Kalau ada kosert-konsert atau pesta maka bepusu-pusu untuk memeriahkannya. Tetapi jika ada kuliah-kuliah agama dan ilmu kita sering menjauhkan dan menyibukkan diri dengan hal duniawi.




    Majlis Iftar Jamai'e Masjid Al-Azhar, KUIS

    Pada 18 September 2008 bersamaan 18 Ramadhan yang lepas, Masjid Al-Azhar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) telah mengadakan Iftar Jamai'e besar-besaran yang bertempat di masjid tersebut.


    Program ini di hadiri oleh Dato' Adanan Isman, Rektor serta pensyarah-pensyarah KUIS dan pelajar pula di anggarkan seramai 700 orang yang hadir hasil daripada perlaksanaan publisiti oleh pihak Al-Azhar Members (ALAM) dengan menampal memo kecil di setiap bilik, mengedarkan borang serta mewar-warkan program ini di dalam weblog ALAM.

    Sejak pukul 6 petang lagi, ahlijawatankuasa program kebanyakannya sukarelawan pelajar KUIS dan ahli ALAM lelaki dan perempuan, berkumpul di masjid untuk membuat persiapan dengan menyediakan tempat makan, mengagih-agihkan makanan dan lain-lain persiapan lagi.

    Pada pukul 7 petang kehadiran pelajar-pelajar, pensayarah, Ajk masjid serta Dato' Rektor KUIS memenuhi ruang legar masjid Al-Azhar. tetamu di jamu dengan kuih-muih dan terus dengan nasi beriani ayam dan kambing dan selepas itu solat maghrib berjemaah.

    Selepas solat diadakan sedikit majlis perasmian oleh Dato' Rektor serta pembahagian bantuan kepada pelajar-pelajar yang kurang upaya dan bermasalah dengan kewangan ini. Program ini diteruskan dengan solat tarawikh berjemaah.


    Persiapan Sukarela dan ahlijawatankuasa program








    Kehadiran tetamu yang cukup memberangsangkan




    Pensyarah-pensyarah KUIS


    Kelihatan Juga YBhg. Dato' Rektor KUIS



    Tetamu Muslimat Juga Turut Hadir


    Turut Kelihatan Dekan JPM (Jabatan Pembangunan Mahasiswa ) Ust. Subari,
    sedang makan bersama pelajar


    Disediakan dan jurufoto oleh :

    Mohd Syahiran [ Exco Penerangan ALAM ]




    T-Shirt ALAM

    T-Shirt ALAM Lelaki
















    Pandangan Depan Pandangan Belakang

    Saiz : S, L, M, XL, XXL (Free Size)

    Pattern : Lengan Pendek /Panjang Sahaja.

    Harga : RM27 ( Boleh Bayar Secara Deposit RM15)







    T-Shirt ALAM Perempuan












    Pandangan Depan Pandangan Belakang


    Saiz : S, L, M, XL, XXL (Free Size)

    Pattern : Lengan Panjang Sahaja.

    Harga : RM27 ( Boleh Bayar Secara Deposit RM15)




    * Sesiapa yang berminat boleh menempah dengan memberi Nama, Saiz, No.Tel serta Bayaran (secara deposit) di Pejabat/Koperasi ALAM,Masjid Al-Azhar.

    Atau,

    Menghubungi dengan Exco Penerangan : Mohd Syahiran (013-2008063 )





    Puasa adalah perisai



    Ramadan membawa sejuta nikmat kepada umat Islam. Yang pasti, puasa adalah antara cara membentuk jiwa suci dan menyemai benih iman.
    http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0912&pub=Kosmo&sec=Famili&pg=fa_02.htm

    SEORANG yang berpuasa akan merasai bahawa jiwa raganya sentiasa diawasi Allah pada setiap masa dan ketika. - Gambar hiasan


    MENJALANI ibadah puasa bermakna bermulalah kita menjalani modul latihan psikologi bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang berkaitan dengan jiwa.

    Memulakan ibadah puasa bererti menyemai benih iman dan takwa dalam diri yang boleh menjadi perisai dalam mengharungi kemelut hawa nafsu. Kejayaan mengawal nafsu bermakna kejayaan kita mengawal personaliti dan tingkah laku daripada pelbagai angkara maksiat yang sentiasa menyelubungi hidup kita.

    Kemuncak kejayaan diri dalam konteks ini adalah kejayaan mendidik hati dan perasaan sekali gus menjelmakan rasa kasih sayang, belas kasihan, tolong-menolong antara satu sama lain. Firman Allah yang bermaksud: 'Wahai orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa' - Surah al-Baqarah: 183.

    Mendidik diri sebagai hamba Allah bererti menjadikan diri menurut dan patuh kepada peraturan yang ditetapkan oleh Allah terhadap kewajipan berpuasa.

    Menjadikan diri sebagai hamba Allah bermakna menjauhkan daripada menjadikan diri sebagai hamba dunia, hamba kepada ketamakan dan kerakusan dan hamba kepada nafsu syahwat. Sukar bagi diri kita untuk mengawal perasaan apabila berhadapan dengan pelbagai nikmat yang ada di sekeliling kita.

    Bolehkah kita mengawal perasaan kita dengan menjimatkan perbelanjaan apabila berhadapan dengan juadah di bazar Ramadan yang dirasai semuanya enak-enak belaka?

    Adakah kita berasa memadai dengan membeli hanya satu dua jenis sahaja atau pun membeli sehingga tidak cukup tangan? Allah mengingatkan dalam firmanNya yang bermaksud: 'Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan' - Surah al-A'raf: 31.

    Dalam hal ini, Rasulullah menegaskan, daripada Anas katanya: 'Bahawa Rasulullah berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum solat. Sekiranya tiada rutab, maka hanya dengan beberapa biji tamar dan sekiranya tiada tamar, maka Rasulullah minum beberapa teguk air' - hadis riwayat Ahmad dan al-Timizi.

    Mendidik jiwa bagi orang berpuasa adalah menjadikan puasa Ramadan sebagai perisai kejahatan. Daripada Abu Ubaidah ra beliau berkata bahawa saya dengar Rasulullah bersabda: "Puasa adalah perisai, selama dia tidak memecahkannya" - hadis riwayat al-Nasai dan Ibnu Majah. Perisai bererti menjadikan puasa sebagai imunisasi bagi mengawal diri daripada dicerobohi syaitan.

    Dalam melaksanakan ibadah puasa, segala perbuatan dan tingkah laku kita perlu dijaga termasuk menjaga penglihatan dan pemandangan daripada melihat perkara buruk yang mendatangkan dosa.

    Kita dikehendaki sentiasa mengawal percakapan kita daripada bercakap kosong, berbohong, mengumpat dan mengata perkara yang boleh menyentuh peribadi orang lain. Apatah lagi caci maki yang menyakiti hati.

    Jika disakiti, ingatkan bahawa kita sedang berpuasa. Kita juga mesti mengawal pendengaran kita daripada mendengar ungkapan kotor dan buruk.

    Mungkin ada sangkaan bahawa puasa boleh melemahkan jiwa dan jasmani. Anggapan begini sebenarnya meleset kerana ibadah puasa boleh melembutkan perasaan dan mencetuskan tenaga dalam diri manusia, menguatkan akal dan diperteguhkan rohaniah.

    Berpuasa Ramadan sebulan dalam setahun merupakan cara menguatkan kesihatan badan. Sebaliknya, kelemahan diri adalah sentiasa menurut nafsu dan sentiasa gagal mengawal kemahuan.

    JIWA merdeka yang berjaya dididik melalui puasa akan mencernakan niat yang ikhlas. - Gambar hiasan

    Seorang yang berpuasa akan melatih diri agar sentiasa amanah terhadap dirinya dan orang lain. Di samping itu, dia akan merasai bahawa jiwa raganya sentiasa diawasi Allah pada setiap masa dan ketika.

    Jiwa merdeka yang berjaya dididik melalui puasa akan mencernakan niat yang ikhlas yang mana segala apa yang dilakukan adalah untuk mendapat keredaan Allah, merasai kelazatan ibadah, yakin dengan janji syurga, jiwa damai dan sentiasa mengukuh silaturahim, bersimpati sesama manusia dan sentiasa berusaha untuk melakukan kebajikan.



    Amalan empat kumpulan bezakan ibadah puasa


    oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali
    bhnews@bharian.com.my



    Sesetengah umat Islam anggap kewajipan ketika Ramadan sekadar adat, bukan ibadat

    SEPANJANG bulan ini umat Islam berpuasa pada siang hari dan memperbanyakkan amal ibadat pada malamnya. Ramai yang berpuasa sebagai ibadat dan tidak kurang yang melaksanakannya sekadar memenuhi adat kebiasaan. Ada perbezaan antara ibadat dan adat.

    Allah ketika mewajibkan puasa memberitahu bahawa fardu puasa sudah diwajibkan kepada umat terdahulu. Kepentingan puasa digambarkan dengan tujuannya iaitu untuk mencapai ketakwaan, penyerahan yang menyeluruh kepada Allah dan mencegah daripada melakukan kemaksiatan.

    Menghayati ibadat puasa dengan sebenar-benarnya akan membawa seseorang kepada ketakwaan. Orang berpuasa secara ibadat yakin tujuan puasa dan sentiasa berusaha memelihara puasanya. Ibadat dilakukan dengan ikhlas sudah tentu memberi kesan dalam kehidupan.

    Oleh itu, ketakwaan sebagai tujuan puasa menjadikan seseorang menjauhi kejahatan dan sentiasa melakukan ketaatan. Firman Allah yang bermaksud: "Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah sangat keras seksaannya." (Surah al-Baqarah, ayat 196)

    Ibn Abbas berkata, ketakwaan itu adalah taat kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan berkata Mujahid pula, ketakwaan adalah taat dan tidak melakukan kemaksiatan, berzikir dan tidak melupakannya, bersyukur dan tidak mengkufurkan nikmatnya.

    Imam al-Ghazali menyebut, ketakwaan sebagai membersihkan hati daripada dosa sehingga ia sentiasa lurus berhubungan dengan Allah. Ketakwaan kepada Allah menjadikan seseorang suka melakukan perintah-Nya dan takut terjebak dalam kemurkaan-Nya, sentiasa mensyukuri nikmat-Nya, memohon keredaan, doa dan keampunan.

    Ketakwaan menambahkan ketinggian dan kemuliaan di sisi Tuhan dan manusia bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang mulia di sisi Tuhan kamu adalah orang yang bertakwa." (Surah al-Hujurat, ayat 3)

    Ramadan adalah bulan diberkati. Sesiapa yang mengetahui fadilatnya akan merebut peluang pada bulan mulia ini dengan sebaik-baiknya untuk menambahkan keimanan dan ketaatan.

    Ulama Syria, Mustafa al-Siba'iyy menggambarkan empat jenis manusia dalam menghadapi Ramadan iaitu:

    # Seseorang yang tidak banyak mengetahui mengenai Ramadan. Dia beranggapan datangnya Ramadan hanya menjadi penghalang bahkan tidak ada manfaatnya. Ramadan dipandang sebagai tradisi keagamaan semata-mata yang tidak memberi kesan positif baginya. Golongan ini tidak menunaikan kewajipan berpuasa.

    # Seseorang yang hanya memandang puasa Ramadan sekadar menahan lapar dan dahaga kerana dia sangat berkeinginan untuk tidak berpuasa bahkan mengolok-olokkan orang lain yang berpuasa. Dia berpura-pura berpuasa kepada orang yang tidak mengenalinya, tetapi secara terang-terang menampakkan kepada orang yang sejalan dengannya bahawa ia tidak berpuasa.

    # Seseorang yang hanya memandang Ramadan sebagai tradisi tahunan ditandai dengan hidangan melimpah sebagai kesempatan untuk berbual kosong sehingga fajar dan tidur siang sehingga terbenam matahari. Ia menjadi seorang yang pemalas melaksanakan tugasnya.

    # Seseorang yang memandang Ramadan sebagai saranan untuk memperbaiki fungsi jiwa manusia supaya jiwanya rela berkorban, melatih bersabar dan pendidikan yang mencerminkan ketakwaan.

    Inilah empat kategori manusia menghadapi Ramadan. Tanyalah diri, di manakah kita berada. Sesiapa menyambut Ramadan sebagai cara memperbaharui keimanan, pendidikan akhlak, memperkukuhkan rohani, mereka akan mendapat manfaat.

    Setiap Muslim yang berpuasa akan meningkatkan sikap taat, mengoptimumkan usaha meningkatkan perhambaan kepada Allah, bersikap rendah hati di bawah kebesaran-Nya, berusaha mendekatkan diri kepada-Nya.

    Di samping itu, sesiapa yang memandang mengikut hawa nafsu, melakukan kezaliman, permusuhan dan saling membenci adalah kelemahan yang akan mematikan roh dan semangat untuk berpuasa.

    Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan keji tidak ada ertinya bagi Allah walaupun ia meninggalkan makanan dan minuman." (Hadis riwayat Bukhari)

    Nabi SAW pernah berpesan supaya orang yang berpuasa tidak mengeluarkan kata keji dan kotor. Di samping itu, jika orang mengajak kepada pembunuhan atau perkelahian, perlu kita menyebut, "sesungguhnya saya berpuasa."

    Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Puasa adalah perisai, maka ketika di antara kamu sedang berpuasa maka hendaklah jangan melakukan tindakan keji dan menengking. Apabila ada seseorang yang mengumpat dan hendak membunuh kamu, maka katakanlah, "Aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan ketulusan, Allah akan mengampunkan dosanya yang terdahulu." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud).

    Keimanan akan diperoleh selagi dia tidak bercampur dengan perkara fasik dan maksiat. Sesiapa yang berpuasa pada siang dan melakukan ibadat pada malamnya, akan mendapat keampunan sepanjang waktu daripada Allah. Inilah nikmat terbesar dijanjikan Allah pada bulan mulia ini.

    Orang yang berpuasa, doanya mustajab. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiga golongan yang mustajab doanya iaitu pemerintah yang adil, doa orang berpuasa ketika berbuka dan orang dizalimi yang tidak ada padanya dengan Allah hijab."

    Oleh itu, ketika berbuka, ingat untuk berdoa kepada Allah kerana waktu itu adalah mustajab doanya. Apabila duduk di hadapan hidangan, kamu bergembira maka itu adalah kegembiraan di dunia. Akan datang pula kegembiraan di akhirat ketika bertemu Allah kelak. Ramadan adalah bulan kegembiraan di dunia dan di akhirat.

    Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Di antara solat lima waktu, antara Jumaat hingga Jumaat lagi, antara Ramadan hinggalah Ramadan lagi itu dapat menghapuskan dosa apabila kamu menjauhi dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)

    Penulis ialah pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan felo badan bukan kerajaan, Future Global Network.




    Sponsored Ads