feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Gerhana Matahari: Apa pandangan Islam?



Di dalam Islam, jelas Allah telah mengajar kita melalui firmanNYA dalam surah Yaasin ayat 38-40 yang bermaksud:

“Dan matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.”

Gerhana matahari yang berlaku adalah perintah Allah untuk mengingatkan manusia supaya bertaubat, memohon ampun dan sentiasa membesarkannya.

Perbuatan solat gerhana matahari dan bulan serta khutbah adalah sunat muakkad kerana Rasulullah SAW pernah melakukannya ketika berlaku gerhana matahari.

Apabila terjadinya gerhana matahari, baginda SAW bergegas ke masjid menyeru kaum muslimin untuk bersama solat gerhana matahari.

Selesai daripada solat, baginda SAW naik ke mimbar menyampaikan khutbah yang mengandungi nasihat yang sangat penting.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abi Bakrah r.a yang bermaksud:

“Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya bertakbirlah, berdoalah kepada Allah, bersolatlah dan bersedekahlah. Wahai umat Muhammad, tidak ada yang lebih cemburu (marah) mengatasi kemarahan Allah atas perbuatan zina di kalangan hamba-Nya sama ada lelaki atau perempuan. Wahai Umat Muhammad, demi Allah, jika kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis”. (Hadith riwayat Muslim)

Antara intisari nasihat baginda ini ialah pertama, meningkatkan keimanan dan ketaqwaan serta berserah diri hanya kepada Allah; kedua, banyak merenung rahsia ciptaan Allah supaya memperoleh rasa cinta yang tinggi; ketiga, berwaspada menghadapi fitnah zina; dan keempat, kemuncak taqwa ialah kurangkan keseronokan dan banyakkan keinsafan.

Umat Islam perlu menyedari dan meyakini bahawa kejadian gerhana ini bukanlah semata-mata kerana kejadian alam dan putaran biasa alam, bahkan yang paling besar, gerhana matahari adalah tanda kekuasaan Allah, amaran Allah supaya menjauhi maksiat dan peringatan Allah sebelum berlakunya hari kiamat.

Sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud :

“Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang(hilang gerhana) apa dengan kamu.”

Hadith ini keluar daripada mulut Rasulullah pada hari kematian anak lelakinya Ibrahim di mana ramai orang mendakwa bahawa kematian Ibrahim inilah yang menyebabkan matahari bersedih sehingga berlakunya gerhana.

Mengikut kepercayaan mereka ketika jahiliah di mana apabila berlakunya gerhana matahari atau pun bulan maka mereka beranggapan bahawa berlakunya sesuatu gerhana disebabkan kematian seseorang yang besar dan mulia.

Adalah sebaik-baiknya memulakan solat gerhana matahari berjemaah di surau atau masjid di tempat anda kerana dapat mendengar khutbah yang bakal dibacakan oleh khatib.

Hukum khutbah dan solat gerhana adalah sunat muakad(yang dituntut).




Gerhana Matahari menurut ilmu Astronomi




(Gambar: kedudukan matahari, bulan dan bumi semasa gerhana matahari)

Menurut astronomi, gerhana matahari berlaku apabila kedudukan bulan terletak di antara bumi dan matahari, ia menutup cahaya matahari sama ada separa atau sepenuhnya.

Walaupun bulan lebih kecil, bayangan bulan mampu melindungi cahaya matahari sepenuhnya kerana bulan dengan purata jarak 384,400 kilometer adalah lebih dekat kepada bumi berbanding matahari yang mempunyai jarak purata 149,680,000 kilometer.

Gerhana matahari boleh dibahagi kepada 3 iaitu gerhana penuh, gerhana separuh, dan gerhana anulus.

Gerhana penuh apabila matahari ditutup sepenuhnya oleh bulan disebabkan bulan berada dekat ke bumi dalam orbit bujurnya, gerhana separuh apabila bulan hanya menutup sebahagian daripada matahari, dan gerhana anulus yang terjadi apabila bulan hanya menutup sebahagian daripada matahari dan cahaya matahari selebihnya membentuk cincin bercahaya sekeliling bayangan bulan yang dikenali sebagai 'corona'.

Gerhana matahari tidak berlaku setiap bulan kerana satah bulan tidak betul-betul berada di satah ekliptik (jalan yang dilalui bumi) kerana satah bulan condong sebanyak 5 darjah.

Satah ekliptik dan satah bulan hanya bertemu pada 2 titik pertemuan sahaja.

Hanya di titik ini atau sangat berdekatan dengan titik ini saja, gerhana akan berlaku. Sekiranya bulan 0.5° di atas atau di bawah matahari, maka ia akan melaluinya tanpa menghalang cakera matahari dari sampai ke bumi dan tidak akan berlaku gerhana.

Gerhana matahari anulus pada 15 Januari 2010 (hari ini) akan kelihatan dengan lintasan selebar 300 kilometer merentasi Afrika Tengah, Lautan Hindi dan Asia Timur.

Fenomena ini terjadi apabila bulan merentas di hadapan matahari, namun tidak menutup matahari sepenuhnya kerana saiz ketara bulan adalah lebih kecil daripada saiz matahari.

Oleh itu, matahari kelihatan seperti gelungan cincin yang terang atau Anulus di sekeliling luar cakera bulan.

Lintasan bayang umbra bulan (bahagian bayang yang amat gelap) bermula di Afrika dan melalui Chad, Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo, Uganda, Kenya dan Somalia.

Manakala selepas melepasi Afrika, lintasan itu melalui Lautan Hindi yang mana tempoh maksimum anulus mencapai sehingga kira-kira 11 minit 8 saat.

Lintasan itu kemudian melintasi Asia melalui Bangladesh, India Myanmar dan China. Fenomena ini pernah berlaku pada 26 Januari 2009, sewaktu Tahun Baru Cina.

Gerhana matahari separa pula akan kelihatan dalam lingkungan bayangan penumbra bulan (bahagian luar bayang yang relatifnya lebih cerah) yang lebih luas meliputi Eropah Timur, Afrika dan Asia.

Pegawai Penyelidik Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Lau Chen Chen, berkata di Malaysia, fenomena ini paling jelas disaksikan penduduk di utara Semenanjung dan Langkawi, menjadi lokasi strategik dengan liputan maksimum di Malaysia sebanyak 40 peratus dan bahagian pantainya yang menghala ke arah barat begitu sesuai dengan 'sentuhan terakhir' ketika matahari terbenam.

"Matahari terlindung oleh bulan sehingga mencapai kegelapan maksimum kira-kira 40 peratus di bahagian utara Semenanjung Malaysia pada waktu petang.

Peratus matahari dilindungi oleh bulan semakin mengurang ke bahagian tengah Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Sehubungan itu, rakyat negara ini akan berpeluang menyaksikan gerhana matahari separa mulai jam 3 petang hingga 5.45 petang pada Jumaat ini," katanya.



Pengharaman penggunaan nama "ALLAH" untuk bukan Islam di Malaysia: Tinjauan Daripada Perspektif Hukum

Disediakan oleh:

Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail, Pensyarah Jabatan Usuluddin, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri, Kelantan.

Muqaddimah

Isu penggunaan nama Allah oleh penganut agama Kristian telah menjadi perbincangan hangat dan panas. Entry ini adalah kupasan pertama saya tentang isu yang pada mulanya kurang mendapat perhatian.Saya dimaklumkan bahawa ada pertubuhan yang akan membuat pendirian resmi esok dan perbincangan antara cerdik pandai masih diteruskan sehingga kini. Yang dapat kita perhatikan ialah mahkamah telahpun membenarkanpenggunaan lafzul jalalah seperti yang...
Pada 31 Disember 2007, Kementerian Dalam Negeri telah mengharamkan akhbar The Herald Tribune untuk menggunakan nama Allah dalam akhbarnya. Akhbar tersebut merupakan satu akhbar mingguan Kristian Katolik. Mereka menterjemahkan ke dalam bahasa melayu, kalimah “Allah” untuk merujuk kepada tuhan mereka. Pengharaman KDN ini adalah sama dengan keputusan mesyuarat Kabinet bertarikh 16 Mei 1986 yang telah memutuskan bahawa perkataan Allah adalah antara kalimah-kalimah yang dilarang penggunaannya oleh mereka yang bukan beragama Islam. Keputusan ini disambut baik oleh masyarakat Islam di Malaysia. Namun, terdapat sebahagian umat Islam, termasuk ahli agama sendiri tidak bersetuju dengan peraturan ini[1]. Artikel ini ditulis untuk menyatakan pendirian penulis dalam masalah ini.

Mencari Di Manakah Sebenarnya Punca Permasalahan

Mencari di manakah sebenarnya berlaku khilaf ( تحرير محل النزاع ) merupakan satu perkara yang sangat penting bila berlakunya sesuatu perbezaan pendapat. Boleh jadi, pendapat yang dianggap berbeza sebenarnya adalah sama. Ini kerana pendapat-pendapat yang berbeza itu dilihat dari sudut yang berlainan. Dalam masalah ini, saya dapati kita perlu menjawab persoalan-persoalan di bawah:

1- Adakah benar hanya orang Islam yang mendakwa tuhan mereka ialah Allah?

2- Adakah Islam menghalang orang bukan Islam untuk mendakwa tuhan mereka ialah Allah? Sedangkan mereka bukan menerima Islam.

3- Adakah kalimah “Allah” bagi masyarakat Islam Malaysia mempunyai makna yang sama dengan kalimah “Allah” yang disebut oleh penganut agama lain, terutamanya Kristian?

4- Adakah kalimah “Allah” dalam bahasa Melayu hanya bererti tuhan atau ia adalah kata nama khas untuk Tuhan Yang Maha Esa?

5- Adakah boleh kerajaan meminda satu undang-undang bagi menjaga aqidah umat Islam daripada terpesong? Antaranya ialah pemesongan pemahaman kalimah “Allah”.

Menjawab Permasalahan-Permasalahan Tadi

Untuk memudahkan kefahaman, saya akan membincangkan permasalahan-permasalahan tadi secara berasingan, satu persatu.

Masalah Pertama: Adakah Benar Hanya Orang Islam Yang Mendakwa Tuhan Mereka Ialah Allah?

Bagi masalah yang pertama, rasanya semua bersepakat bahawa bukan orang Islam sahaja yang mendakwa tuhan mereka ialah Allah. Ini kerana nas dengan jelas menyatakan demikian. Antaranya ialah:

1-Firman Allah SWT:

﴿ وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ ﴾
Ertinya: “Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?" tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar)”. Surah al-Ankabut: 61.

2- Firman Allah SWT:

﴿ وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ ﴾
Ertinya: “Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah : "Segala puji bagi Allah"; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Allah yang sebenar)”. Surah Luqman: 25.

3- Firman Allah SWT:

﴿ وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ خَلَقَهُنَّ الْعَزِيزُ الْعَلِيمُ (9) الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ مَهْدًا وَجَعَلَ لَكُمْ فِيهَا سُبُلًا لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ﴾
Rtinya: “Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?", nescaya mereka akan menjawab: "Semuanya diciptakan oleh yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui". Surah az-Zukhruf: 9-10.

Masalah Kedua: Adakah Islam Menghalang Orang Bukan Islam Untuk Mendakwa Tuhan Mereka Ialah Allah?

Bagi masalah yang kedua, rasanya semua bersepakat bahawa Islam tidaklah menghalang umat lain mendakwa demikian. Apatah lagi mereka bukannya menerima aqidah Islam. Namun Islam memperbetulkan tanggapan silap mereka terhadap Allah SWT, dan menegaskan bahawa Allah SWT adalah Esa dan tiada sebarang kekurangan, berbeza dengan apa yang dikatakan mereka. Antara ayat suci yang menunjukkan demikian ialah:

1- Firman Allah SWT:

﴿ وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللَّهِ ذَلِكَ قَوْلُهُمْ بِأَفْوَاهِهِمْ يُضَاهِئُونَ قَوْلَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَبْلُ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ (30) اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ بْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ ﴾
Ertinya: “Orang-orang Yahudi berkata: "Uzair itu putera Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al masih itu putera Allah". Demikianlah itu ucapan mereka dengan mulut mereka. Mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Allah melaknati mereka. Bagaimana mereka boleh berpaling? Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain Allah, dan (juga mereka mempertuhankan) Al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan”. Surah at-Taubah: 30-31.

Ayat ini menunjukkan betapa Allah SWT memperbetulkan aqidah Yahudi dan Kristian. Bahkan Allah SWT dalam ayat ini menyatakan terdapat perbezaan yang begitu jelas antara “Allah” pada pandangan bukan Islam dan juga “Allah” pada pandangan orang Islam.

2- Firman Allah SWT:

﴿ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ وَلَا تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلَّا الْحَقَّ إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى بْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَلَا تَقُولُوا ثَلَاثَةٌ انْتَهُوا خَيْرًا لَكُمْ إِنَّمَا اللَّهُ إِلَهٌ وَاحِدٌ سُبْحَانَهُ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَلَدٌ لَهُ مَا فِي السَّمَوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلًا ﴾
Ertinya: “Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya Al-Masih, Isa putera Maryam itu, adalah Rasul (utusan) Allah dan (yang diciptakan dengan) kalimatNya yang disampaikanNya kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-rasulNya dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga". Berhentilah (dari ucapan itu). (Berhenti daripada mengatakan demikian itu adalah) lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah Tuhan yang Maha Esa. Maha Suci Allah dari mempunyai anak, segala yang di langit dan di bumi adalah kepunyaanNya. Cukuplah Allah menjadi Pemelihara”. Surah an-Nisa’: 171.

Ayat ini memperbetulkan persepsi salah orang Kristian tentang “Allah”. Bahkan ayat ini melarang orang Kristian daripada menyatakan aqidah yang salah itu. Iaitu aqidah yang menganggap Allah adalah salah satu daripada unsur tuhan yang tiga (trinity). Namun, Kristian yang ada pada hari ini, masih berdegil dan kekal menyatakan demikian. Tetapi ayat ini tidaklah melarang golongan Kristian untuk mendakwa bahawa Allah merupakan tuhan mereka.

Masalah Ketiga: Adakah Kalimah “Allah” Bagi Masyarakat Islam Malaysia Mempunyai Makna Yang Sama Dengan Kalimah “Allah” Yang Disebut Oleh Penganut Agama Lain, Terutamanya Kristian?

Bagi masalah ketiga, rasanya semua boleh sepakat bahawa pemahaman kalimah Allah bagi masyarakat Islam di Malaysia dan juga di mana-mana sekalipun adalah berbeza dengan kalimah “Allah” yang disebutkan oleh orang-orang Kristian. Dan nas al-Qur’an sendiri yang menunjukkan demikian. Antaranya ialah ayat 30 dan 31 surah at-Taubah, yang sudah disebutkan tadi. Dan antaranya juga ialah:

1- Firman Allah SWT:

﴿ لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمَسِيحُ بْنُ مَرْيَمَ وَقَالَ الْمَسِيحُ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اعْبُدُوا اللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ ﴾
Ertinya: “Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya Allah ialah Al-Masih putera Maryam", padahal Al-Masih (sendiri) berkata: "Wahai Bani Israil, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu". Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka. Dan tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolongpun” . Surah al-Maidah: 72.

2- Firman Allah SWT:

﴿ لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلَاثَةٍ وَمَا مِنْ إِلَهٍ إِلَّا إِلَهٌ وَاحِدٌ وَإِنْ لَمْ يَنْتَهُوا عَمَّا يَقُولُونَ لَيَمَسَّنَّ الَذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴾
Ertinya: “Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: "Bahawasanya Allah salah satu daripada yang tiga". Sedangkan sekali-kali tidak ada tuhan selain dari (Allah) Tuhan yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di kalangan mereka akan ditimpa seksaan yang pedih”. Surah al-Maidah: 73.

Kedua-dua ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa wujud perbezaan yang ketara tentang kefahaman terhadap kalimah “Allah”, antara golongan Kristian dan ajaran Islam yang dibawa oleh keseluruhan para Nabi, termasuk Nabi Isa a.s.

3- Firman Allah SWT:

﴿ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ وَلَا تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلَّا الْحَقَّ إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى بْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَلَا تَقُولُوا ثَلَاثَةٌ انْتَهُوا خَيْرًا لَكُمْ إِنَّمَا اللَّهُ إِلَهٌ وَاحِدٌ سُبْحَانَهُ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَلَدٌ لَهُ مَا فِي السَّمَوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلًا ﴾
Ertinya: “Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya Al-Masih, Isa putera Maryam itu, adalah Rasul (utusan) Allah dan (yang diciptakan dengan) kalimatNya yang disampaikanNya kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-rasulNya dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga". Berhentilah (dari ucapan itu). (Berhenti daripada mengatakan demikian itu adalah) lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah Tuhan yang Maha Esa. Maha Suci Allah dari mempunyai anak, segala yang di langit dan di bumi adalah kepunyaanNya. Cukuplah Allah menjadi Pemelihara”. Surah an-Nisa’: 171.

Dan bagi saya, ini adalah antara punca perselisihan, sekalipun semua bersepakat dengan perkara tadi. Ini kerana sebahagian daripada kita, bila membincangkan perkara ini telah terlupa bahawa sekalipun kalimah Allah disebutkan juga disebutkan oleh penganut agama Kristian, namun pemahaman tentang kalimah itu adalah berbeza. Ini kerana “Allah” bagi masyarakat Islam adalah satu “Zat” yang Esa dan mempunyai seluruh kesempurnaan. Inilah aqidah kaum muslimin. Dan keseluruhan nas al-Qur’an dan al-Hadis menunjukkan demikian. Antaranya ialah:

1- Firman Allah SWT:

﴿ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (1) اللَّهُ الصَّمَدُ (2) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (3) وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ (4) ﴾
Ertinya: “Katakanlah: "Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara denganNya." Surah al-Ikhlas: 1-4. Ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT yang sebenar ialah Yang Esa dan semua makhluk bergantung kepada kekuasaanNya.

2- Firman Allah SWT:

﴿ هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ (22) هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلَامُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ (23) هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ ﴾
Ertinya: “Dialah Allah yang tiada tuhan selain Dia, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dia-lah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dialah Allah yang tiada tuhan selain Dia, Dialah Raja, Yang Maha suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, yang Maha Memelihara, yang Maha Perkasa, yang Maha Kuasa, Yang Memiliki segala Keagungan, Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan. Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang mempunyai Asma’ul Husna. Bertasbih kepadaNya apa yang di langit dan bumi. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. Surah al-Hasyr: 22-24.

Ayat ini menunukkan bahawa Allah SWT mempunyai nama-nama yang baik yang menunukkan bahawa tiada sebarang kekurangan kepada Allah SWT. Ia jelas berbeza dengan pandangan penganut agama lain kepada Allah SWT. Ini kerana penganut agama lain masih meletakkan sifat kekurangan kepada Allah SWT, sekalipun menganggap bahawa Allah SWT itu adalah tuhan mereka. Contohnya, Yahudi dan Kristian menganggap tuhan mempunyai anak. (Rujuk surah at-Taubah: 30-31). Kaum musyrikin Jahiliyyah juga menganggap bahawa ِAllah SWT mempunyai anak-anak perempuan. Firman Allah SWT:

﴿ وَيَجْعَلُونَ لِلَّهِ الْبَنَاتِ سُبْحَانَهُ وَلَهُمْ مَا يَشْتَهُونَ ﴾ Ertinya: “Dan mereka menetapkan bagi Allah anak-anak perempuan. Maha Suci Allah, sedang untuk mereka sendiri (mereka tetapkan) apa yang mereka sukai (iaitu anak-anak lelaki)”. Surah an-Nahli: 57.

Masalah Keempat: Adakah Kalimah “Allah” Dalam Bahasa Melayu Hanya Bererti Tuhan Atau Ia Adalah Kata Nama Khas Untuk Tuhan Yang Maha Esa?

Bagi masalah keempat, saya berpendapat ini adalah antara punca permasalahan. Ini kerana masalah penterjemahan adalah masalah bahasa. Boleh jadi seseorang itu mahir dalam bidang agama, namun lemah dalam bidang bahasa, termasuk bahasa ibundanya sendiri.

Penterjemahan Kalimah Allah Dalam Bahasa Melayu Dan Inggeris

Dalam bahasa Melayu, kalimah Allah hanyalah merujuk kepada tuhan Yang Maha Esa sahaja, dan tidak merujuk kepada makna tuhan semata-mata. Kerana inilah bila kita terjemahkan syahadah, kita menyatakan:

“Saya bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah”.

Ini bererti bahawa kalimah tuhan boleh digunakan untuk tuhan yang sebenar yang perlu dan berhak disembah, dan juga tuhan yang batil. Dan kalimah tuhan dalam bahasa Melayu bukan bererti Allah. Sebagai contoh, kita tidak terjemahkan syahadah dengan:

“Saya bersaksi bahawa tiada Allah melainkan Allah”.

Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka juga menghuraikan kalimah “Allah” sebagai “Tuhan Yang Esa”.

(Rujuk: Kamus Dewan, Edisi Baru, Ketua Editor: Sheikh Othman bin Sheikh Salim, cet. 4, 1993, Percetakan Yayasan Islam Terengganu, Gong Badak, Kuala Terengganu, hal. 28).

Begitu juga Kamus Dwibahasa Oxford Fajar. Dalam menterjemahkan kalimah “Allah”, daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu, ia menyebut: Allah n. Allah, tuhan orang Muslim. Huruf “n” kecil di situ adalah ringkasan noun, iaitu kata nama.

(Rujuk: Kamus Dwibahasa Oxford Fajar, oleh Joyce M. Hawkins, Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, Cet. 3, 2005, hal. 10)

Ini bererti dalam bahasa Inggeris juga menganggap bahawa “Allah” hanyalah khusus untuk tuhan orang Islam. Kamus Little Oxford Dictionary, iaitu kamus Inggeris - Inggeris menyebut: Allah : Muslims name of God (ertinya nama tuhan orang Islam).

(Rujuk: Little Oxford Dictionary, first edited by George Ostler, revised seventh edition, dited by Maurice Waite, printed in Great Britain, Clarendon Press, Oxford, 1998, pg 16.)

Kesimpulannya, saya rasakan kita semua menerima, bahawa kalimah Allah dalam bahasa Melayu hanya merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa, dan bukannya merujuk kepada tuhan semata-mata (samada yang berhak disembah atau tidak). Ini adalah berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan di atas dan juga uruf penggunaan kalimah tersebut dalam masyarakat Melayu. Kalimah “Allah” dalam bahasa Melayu berbeza dengan kalimah “God” atau “Lord” .

Tambahan

Sepanjang pembacaan saya, kalimah yang ingin digunakan oleh akhbar Herald untuk diterjemahkan dalam edisi bahasa Melayu sebagai Allah ialah kalimah God. Kalimah God bukan bererti Allah dalam bahasa Melayu, bahkan bererti tuhan. Jadi menterjemahkan God kepada Allah merupakan satu kesilapan dari sudut bahasa Melayu. Kesilapan ini membawa kepada kesilapan pemahaman kepada orang-orang Melayu. Ini menunjukkan kepada betapa pentingnya memahami bahasa Melayu untuk terjemahan.

Bidang penterjemahan memerlukan kepada penelitian. Sebagai contoh, terdapat perkataan yang menggunakan kalimah “Allah” dalam bahasa arab, dan digunakan oleh orang arab kini, samada yang beragama Islam dan tidak, tetapi ia tidak membawa maksud “Allah”. Antara contohnya ialah:

1- “يالله”. Ia hanya membawa erti : cepat dan sebagainya.

2- “والله”. Ia boleh diterjemahkan sebagai: Ya, memang.

3- “لا والله”. Ia boleh diterjemahkan sebagai: memang tidak.

4- “بالله”. Ia biasanya digunakan untuk menguatkan kebenaran apa yang disebutkan. Sama juga: “بالله عليك” atau “والله” digunakan juga untuk menunjukkan kehairanan tentang sesuatu.

5- “ إن شاء الله”. Perkataan ini biasanya digunakan untuk maksud OK sahaja. Ini kerana ia juga digunakan oleh orang bukan Islam dan juga yang tidak beragama. Mungkin sangat sedikit orang arab yang menggunakan kalimah ini, dengan mengingati jika diizinkan “Allah”.

6- Kalimah : “الله، الله”. Ia boleh diterjemahkan sebagai penguat kata sahaja.

Terdapat juga ayat-ayat yang menggunakan nama Allah, namun penggunaannya sekarang di kalangan orang arab hanyalah sebagai “pemanis kata” sahaja. Antaranya ialah kalimah-kalimah berikut: “الله يبارك فيك” , ““ الله يخليك” , “ الله يستر” , “ الله يهديه” , dan sebagainya.

Begitu juga dalam bahasa melayu, penterjemahan kalimah “ قال ” adalah berbeza. Untuk Allah, kita terjemahkan dengan berfirman. Untuk Nabi, kita terjemahkan sebagai bersabda. Untuk raja, kita terjemahkan sebagai bertitah. Untuk orang biasa kita terjemahkan sebagai berkata. Dalam bahasa Melayu bila kita terjemahkan Allah bersabda, Nabi berfirman, Raja berkata, terjemahan itu adalah salah, dan ia boleh membawa kepada kurang adab terhadap Allah dan juga Nabi. Kita tidak boleh menjadikan alasan dengan berkata: “sama sahaja, kerana dalam bahasa arab, semuanya menggunakan kalimah “ قال ”. Ia adalah satu kesilapan.

Masalah Kelima: Adakah Boleh Kerajaan Meminda Satu Undang-Undang Bagi Menjaga Aqidah Umat Islam Daripada Terpesong? Antaranya Ialah Pemesongan Pemahaman Kalimah “Allah”.

Bagi saya, di sinilah sebenarnya permasalahan yang perlu dibincang. Ini kerana saya rasakan semua boleh bersepakat menerima empat permasalahan yang lepas. Jadi di sinilah sebenarnya tempat perselisihan. Dalam masalah ini, saya menyatakan untuk bersetuju dengan langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengharamkan akhbar Herald Chatolic daripada menterjemahkan “God” kepada “Allah” untuk edisi terbitan dalam bahasa Melayu. Pendapat ini adalah berasaskan kepada hujah-hujah berikut:

Hujah Pertama: Qaedah Fiqh yang menyatakan bahawa “Pemerintah Hendaklah Melakukan Sesuatu Demi Kepentingan Rakyat” ( تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة ). Dan maslahah di sini ialah menjaga aqidah umat Islam Malaysia. Dan ini termasuk dalam perkara menjaga agama ( حفظ الدين ) yang menjadi maqasid asas kepada agama Islam. Ini kerana penterjemahan kalimah God kepada Allah jelas menimbulkan kekeliruan di kalangan orang Melayu dan juga bukan Melayu yang memahami bahasa Melayu (sebagaimana yang telah dibincangkan tadi). Ia juga untuk menjaga kesucian Nama Allah SWT. Firman Allah SWT:

﴿ وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ﴾ Ertinya: “Dan kalimah Allah itulah yang tinggi. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. Surah at-Taubah: 40.

FirmanNya lagi:

﴿ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ﴾ Ertinya: “Dan mengingati ( serta menyebut) “Allah” itu adalah lebih besar”. Surah al-Ankabut: 45.

Hujah kedua: Konsep “Menyekat Pintu Keburukan” ( سد الذرائع ). Melarang orang bukan Islam menterjemahkan God kepada Allah juga adalah jalan untuk menutup pintu-pintu yang boleh membawa kepada mafsadah (keburukan). Dan mafsadah di sini, bukan lagi satu perkara yang “wahmiyyah”, iaitu samar, tetapi mafsadah yang “mutahaqqiqah” (sebenar). Antara mafsadah tersebut ialah:

1- Mengelirukan masyarakat Melayu tentang perbezaan tuhan yang sebenar dengan tuhan yang batil yang dianggap tuhan. Ini kerana semuanya diterjemahkan sebagai “Allah”.

2- Orang Kristian yang sedang beribadat kepada tuhan mereka di gereja boleh dikatakan sedang beribadat kepada Allah. Ini kerana tuhan diterjemahkan sebagai Allah. Begitu juga orang Budha dan Hindu yang sedang menyembah berhala mereka, boleh dikatakan menyembah “Allah”, kerana patung tersebut adalah tuhan mereka.

3-Kesucian nama “Allah” akan tercemar, apatah lagi ia digunakan untuk merujuk kepada tuhan yang berbilang dan mempunyai kekurangan.

4- Membuka ruang kepada pluralisme agama. Ini kerana orang yang berfahaman pluralism agama, akan membuang sebanyak mungkin perbezaan yang wujud antara agama. Sedangkan agama Islam itu adalah berbeza dengan agama yang lain, kerana ia lebih tinggi, dan hanya satu-satunya agama yang diterima oleh Allah SWT.

5- Boleh mengelirukan orang-orang bukan Islam tentang Islam itu sendiri. Ini kerana mereka mungkin menganggap, apa guna untuk memeluk Islam, sedangkan Islam juga menyembah Allah, yang sama disembah oleh kaum Kristian. Dan ini boleh membantut kelancaran dakwah Islamiyyah.

Maka, menggunakan konsep “Saddu az-Zaraie” di sini bukan lagi pada perkara yang “wahmiyyah”, tetapi “haqiqiyyah”. Apatah lagi dalam masalah aqidah.

Hujah ketiga: Islamisasi kalimah dan Penggunaan Kalimah Pada Masa Sekarang ( العرف الاستعمالي للكلمة )

Penggunaan kalimah “Allah” pada masa sekarang ini dalam bahasa Melayu adalah tepat kerana ia dimaksudkan dengan tuhan Yang Maha Esa, yang menjadi tuhan semesta alam. Maka menggunakan “Allah” dengan makna tuhan yang sebenar dan tuhan yang batil adalah satu perkara, yang bukan sahaja bercanggah dengan uruf bahasa Melayu, bahkan juga dengan kesucian aqidah Islam.

Lagipun, kita hendaklah menyedari dan memahami, bahawa sebahagian kalimah telah diislamisasikan. Sebagai contoh, kalimah “ الصلاة” pada asalnya bererti doa. Namun pada masa ini, ia bererti kepada solat yang dilakukan oleh kaum muslimin. Begitu juga “الصوم” pada asalnya bererti menahan diri. Namun setelah kedatangan Islam, kaum muslimin menggunakan kkalimah ini untuk maksud ibadat puasa. Begitu juga “الزكاة” , pada asalnya bererti menyucikan atau subur. Namun, setelah kedatangan Islam, ia difahami sebagai harta yang wajib dikeluarkan oleh si kaya kepada golongan tertentu yang layak menerimanya.

Samalah halnya dengan kalimah “Allah”. Sebelum kedatangan Islam, ia digunakan untuk tuhan, samada Yang Maha Esa atau pun tidak. Namun, setelah kedatangan Islam, bagi kaum muslimin, ia hanya merujuk kepada tuhan Yang Maha Esa. Kalaulah perkara ini tidak disedari, maka gereja juga boleh dipanggil masjid, kerana ia merupakan tempat untuk beribadah kepada “Allah”.

Hujah keempat: Mengekalkan identiti aqidah kaum muslimin dan menolak sebarang kesamaran yang mungkin timbul. Ini kerana hanya Islam sahaja yang menganggap “Allah” itu tuhan yang Maha Esa. Dan masalah mengekalkan identiti aqidah ini merupakan satu perkara yang sangat penting. Bahkan perutusan seluruh para Nabi dan Rasul adalah untuk tujuan ini. Firman Allah SWT:

﴿ وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ ﴾
Ertinya: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu". Maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya”. Surah an-Nahli: 36.

Kerana inilah Islam melarang segala apa yang boleh merosakkan identiti aqidah Islam, walaupun sedikit. Sebagai contoh:

1- Larangan berkata: “Apa yang dikehendaki Allah dan si polan”.

عنْ حُذَيْفَةَ بْنِ اليَمَانِ رَضِيَ اللَّه عَنْه عَنِ النَّبِيِّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم قالَ : « لا تَقُولوا : ماشاءَ اللَّه وشاءَ فُلانٌ ، ولكِنْ قُولوا : مَا شَاءَ اللَّه ، ثُمَّ شَاءَ فُلانٌ » رواه أبو داود بإِسنادٍ صحيح. Huzaifah bin al-Yaman r.a. meriwayatkan Nabi s.a.w. bersabda: “Jangan kamu berkata: “Apa yang diingini Allah dan diingini si fulan”. Tetapi katakanlah: “Apa yang diingini Allah dan kemudiannya diingini si fulan”. Hadis riwayat Abu Daud dengan isnad yang sohih.

Larangan ini dibuat kerana ia boleh menimbulkan kesamaran antara sifat Allah dan sifat makhluk, sekalipun semua muslimin memahami perbezaan “masyiah” Allah dan “masyiah” manusia adalah berbeza. Namun, ia dilarang kerana boleh menimbulkan kesamaran.

2- Larangan menyebut “Malikul Amlak”, iaitu raja segala raja. Ini kerana raja segala raja hanyalah “Allah” SWT.

عَنْ أَبي هُريْرَةَ رضِيَ اللَّه عَنْهُ عن النَّبِيِّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم قال : « إِنَّ أَخْنَعَ اسمٍ عندَ اللَّهِ عزَّ وجَلَّ رَجُلٌ تَسَمَّى مَلِكَ الأَملاكِ » متفق عَلَيه .
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan daripada Nabi s.aw. bersabda: “Sesungguhnya nama yang paling hina di sisi Allah ialah seorang lelaki yang dipanggil Raja sekelian raja”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Larangan ini dibuat bagi mengelakkan kesamaran antara “Allah” SWT dengan raja di kalangan manusia. Kalaulah gelaran raja segala raja digunakan untuk seorang raja, semua kaum muslimin menyedari bahawa dia bukanlah tuhan, namun ia tetap dilarang kerana menimbulkan kesamaran. Maka samalah halnya dengan masalah penggunaan nama “Allah” yang sedang kita bincangkan ini.

Dan kita juga ingin bertanya, kalaulah kita semua bersetuju melarang orang awam memakai pakaian seragam polis dan tentera kerana ia boleh menimbulkan kesamaran, maka kenapa dalam masalah ini kita tidak nampak kesamaran tersebut? Tidakkah perkara ini lebih besar, kerana ia berkaitan dengan kesucian aqidah Islam?

Hujah kelima: Menjaga keamanan umum. Ini kerana, sebahagian besar orang Islam di Malaysia merasakan mereka tercabar dan kesucian agama mereka diperlekehkan dengan keizinan kepada penganut Kristian untuk menggunakan nama Allah. Dan perkara ini memang jelas kepada kita semua. Antara yang menunjukkan demikian ialah:

1- Kata-kata amaran daripada Presiden PKPIM Mohd Hilmi Ramli dalam suatu kenyataan akhbarnya, di Kuala Lumpur, pada 10 Mei 2008. Berikut adalah sedutannya:

"Nama Allah eksklusif kepada umat Islam. Tiada dalam sejarah agama Kristian mahupun agama lain menggunakan nama Allah sebagai Tuhan mereka," kata beliau. Menurut beliau, pihaknya memberi amaran kepada Herald The Catholic Weekly supaya tidak lagi menimbulkan kontroversi dan kekeliruan dalam kalangan umat Islam berhubung penggunaan nama Allah. "Adakah penggunaan nama Allah ini bertujuan menyesatkan umat Islam secara terancang? Istilah bagi merujuk orang alim atau agamawan juga telah ada seperti 'ulama' bagi orang Islam, 'Rahib' dan 'paderi' bagi agama Kristian, 'sami' bagi Hindu dan lain-lain lagi. Maka, tiada masalah sebenarnya akhbar itu mencari nama lain bagi Tuhan mereka.

"Tindakan akhbar itu sebenarnya membuka kotak 'paradox' yang sebelum ini sudah harmoni dan aman. Kekeliruan dan strategi halus yang digunakan akhbar ini atas nama Kristianisasi menimbulkan rasa marah dan kecewa umat Islam Malaysia secara khusus dan dunia umumnya. "PKPIM beri amaran agar Herald Tribune tidak menimbulkan kerisauan dengan menggunakan nama Allah dengan merujuk kepada Tuhan dalam agama Kristian. Herald The Catholic Weekly harus beradab dalam meletakkan nama Allah di tempat yang sebenarnya," tambah beliau.

2- Kata-kata Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dato’ Dr. Maamor Osman: “Kerajaan perlu bertegas dalam hal ini dengan mengambil tindakan Negeri (ISA)”.

3- Kata-kata Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar: “Haramkan sahaja penerbitan mereka (Herald Catholic) atau menarik permit mereka jika sengaja menggunakan nama Allah. Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas kerana perbuatan ini boleh mengakibatkan ketegangan agama. Kita tidak mahu kemanan Negara ini dicemari dengan perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini dan kami sedia bertindak atas nama Islam”.

4- Kata-kata Prof Dato’ Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul di UIAM: “Hasil penelitian saya, akhbar Herald Catholic sengaja provokasi Islam Melayu kita dengan menyentuh perkara paling sensitive. Ia diburukkan lagi dengan tindakan seorang menteri yang tidak menjaga sensitiviti ini. Kita sanggup bangkitr mempertahankan hak ini kerana Allah sendiri mewajibkan kita berjuang sekiranya kesucian Islam dicemari. Jangan sentuh sensitivity jihad kami”. Dan beginilah juga nada Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, Imam Besar Masjid Negara.

Suara-suara kemarahan daripada masyarakat Melayu Islam boleh dilihat di sana sini, termasuk dalam blog-blog internet dan juga perbualan kedai kopi. Bahkan sebahagian daripada masyarakat Islam mempersoalkan motif dan niat sebenar keinginan mereka untuk menggunakan kalimah “Allah” untuk edisi bahasa Melayu, tetapi tidak untuk edisi bahasa Inggeris. Maka, demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, maka wajarlah kalimah “Allah” diharamkan penggunaannya untuk penganut agama bukan Islam, disamping alasan-alasan yang lepas.

Tambahan lagi, penggunaan kalimah ini oleh golongan bukan Islam untuk merujuk kepada tuhan mereka adalah bertentangan dengan perundangan. Ini kerana keputusan kabinet pada Mei 1986 telah memutuskan bahawa terdapat empat kalimah yang tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam, iaitu Allah, Ka’bah, Baitullah dan Solat. Malah penggunaan keempat-empat kalimah ini telah diwartakan hanya eksklusif buat umat islam sahaja di bawah Warta PU (A) 115/82 dan Pekeliling KKDN. S. 59/3/6/A bertarikh 5 Disember 1986. Manakala jemaah menteri yang bermesyuarat pada 3 Januari 2008 memutuskan untuk mengekalkan larangan tersebut, sebagaimana yang diputuskan pada 18 Oktober dan 1 November 2006.

Kesimpulan

Pengharaman penggunaan kalimah “Allah” oleh golongan Kristian bagi merujuk kepada tuhan mereka yang dilaksanakan kerajaan Malaysia adalah wajar dan bertepatan dengan roh dan Maqasid Syariah Islam (tujuan pensyariatan Islam). Maka ia wajar dan perlu disokong oleh umat Islam yang menyanyangi agama dan aqidahnya. Ini kerana orang yang beriman sahajalah yang meletakkan kecintaan mereka kepada Allah SWT melebihi segala-galanya. Bahkan mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan kesucian Nama Allah bagi membuktikan cinta mereka kepada Allah dan demi menjaga nama “Allah” daripada diperlekeh dan dipersendakan. Firman Allah SWT:

﴿ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ ﴾
Ertinya: “Dan orang-orang yang beriman sangat-sangat mencintai Allah (melebihi segala-galanya)”. Surah al-Baqarah: 165.



“MAAL HIJRAH KITA PENYAMBUNG HIJRAH RASUL”

Ditulis: Mohd Nur Hafiz Exco Penerangan & Multimedia ALAM
rimbadamai87.blogspot.com
hafiz_chenor@yahoo.com

Salam Maal hijrah wat Seluruh Muslimin dan Mulimat,Selamat Menyambut tahun baru hijrah 1431.Sempat saya bertanya kepada rakan-rakan kampus untuk perancangan cuti maal hijrah ini.Ada yang menjawap ingin pulang ke kampung,ada juga yang menjawap terpaksa menghadiri progam wajip fakuiti.Ada juga yang menjawap untuk tinggal diasrama dan menyiapkan kerja yang ditugaskan oleh pensyarah.Bukan pesoalan ini saya ingin bawa dalam ini tapi saya terfikir sejak akhir-akhir ini sambutan atau perayaan seperti Maal hijrah,malidul rasul,malam nisfu saaban dan sebagainya hanyalah semata-mata perayaan tapi adakah sambutan ini dihayati maksud sebenarnya disebalik peristiwa sejarah tersebut.

Oleh itu, Isu (Maal Hijrah) boleh dipergunakan oleh kita untuk kepentingan Dakwah & Tarbiah. Kita ingin mengimbas kembali perjalanan hidup Rasulullah s.a.w untuk dijadikan tauladan kepada kita semua. Yup, memang menyeronokkan, tapi adakah kisah/cerita hidup Rasulullah s.a.w hanya untuk ditonton oleh kita? Untuk mengisi masa lapang? Sebagaimana kita menonton Naruto, Bleach, Hunter X Hunter, Dragon Ball dan lain-lain? Jika sedemikian, apakah maksud firman Allah s.w.t? :
” Sesungguhnya pada Rasulullah itu, contoh tauladan yang baik”
Tidak wahai kawan-kawan, sesungguhnya sejarah hidup & perjuangan Rasulullah s.a.w bukan sebagai halwa telinga untuk didengari, bukan sebagai santapan mata untuk ditontoni, bahkan ia adalah satu pengajaran & iktibar malahan sebagai satu panduan bagi kita seorang Muslim dalam meniti detik-detik kehidupan ini. Apatah lagi bagi seseorang yang memperjuangkan apa yang diperjuangkan oleh Rasulullah s.a.w. Persoalan sekarang bukan masalah menyambut Hijrah Rasulullah s.a.w tetapi menyambung Hijrah Rasulullah s.a.w.
Menyentuh mengenai Hijrah. Terlintas di fikiran saya, perbincangan Hadis 1 di dalam Hadis 40 karangan Imam Nawawi :

Dari Amirul Mu’minin, Abu Hafs Umar Ibn Khattab r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :
“Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada apa yang diniatkan. Sesungguhya bg setiap orang apa yang diniatkannya. Barangsiapa hijrahnya untuk Allah & Rasul maka hijrahnya untuk Allah & Rasul. Barang siapa hijrahnya untuk dunia yang dihajatinya atau perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya pada apa yang diniatkan.”

Seringkali apabila kita membincangkan Hadis 1 ini, kita terlupa dari siapakah Hadis ini diriwayat? Hadis ini daripada Saidina Umar Al-Khattab r.a, seorang pemimpin agung Islam yang terkenal dengan bengis, bekeng, pongoh, gedeber, samseng dan perkataan yang sewaktu dengannya semasa di zaman jahiliah beliau. Zaman jahiliah beliau, dipenuhi dengan benci, dendam & permusuhan terhadap Islam. Namun, apabila beliau memeluk agama Islam, sikap & akhlak beliau bertukar, malahan sikap, bakat, kekuatan, pengaruh dan kehandalan beliau digunakan sepenuhnya untuk membela Islam. Perubahan 100% berlaku kepada Umar Al-Khattab r.a sebaik sahaja memeluk agama Islam. Membuktikan kepada kita, sememangnya Umar AL-Khattab r.a adalah orang yang paling layak untuk menyampaikan hadis ini kepada umum. Hijrah yang berlaku oleh Umar r.a adalah perkara yang luar biasa yang perlu kita contohi. Bukan sebagai bahan cerita & pujaan dikala mengantuk atau sebelum tidur.
Maksiat yang pernah dilakukan oleh Umar r.a sebelum memeluk Islam teramatlah banyak. Namun, perubahan besar & mendadak berlaku apabila beliau memeluk Islam. Ya, Hijrah berlaku! Alaa, setakat nak kurangkan YM(sembang internet),Frienster,Facebook, Anime, Games, Movie tuh, agak2 laa, kalu banding dengan Saidina Umar r.a. macam sisa-sisa makanan yang melekat dicelah gigi saja. Kecilnya jahiliah yang ada pada kita berbanding jahiliah yang Umar r.a lakukan (sblm Islam). Namun, kerana jahiliah yang kecil ini, kita membuang masa kita. Usia remaja/dewasa dihabiskan dengan perkara yang tidak berfaedah. Sememangnya tidak syak, pemuda yang statik akan dirosakkan dengan kestatikannya sendiri. Ayuh kawan-kawan, kita menyambung Hijrah Rasulullah s.a.w..



Program Malam Ukhwah Mahabbah Exco Dakwah & Kebajikan

Pada 6/12/2009 bersamaan 19 zulhijjah 1430,Exco Dakwah dan Kebajikan Al-Azhar Members(ALAM)menganjurkan Program Malam Ukhwah Mahabah.Majlis tersebut diadakan untuk merapatkan ukhwah exco tersebut dan memperkenalkan exco tersebut kepada Majlis Eksekutif (ME) dan Angkatan Exco (AE).Antara acara didalam program tersebut ialah tayangan slide,Sukaneka dan Jamuan Makan.Antara yang turut hadir pada program tersebut ialah mantan Pimpinan 08/09.







Kami dari pihak Pimpinan mengucapkan tahniah atas kejayaan menganjurkan program tersebut.



Nikmat Kerahsiaan Yang Menghakis Iman

1092



1092

“Macam Abu Saif sendiri pun pengunjungnya juga bukan semua sukakannya. Ada yang meluat bila nampak nak tunjuk terlebih pandai..serba serbi tahu. Itulah hakikatnya, banyak blogger sekarang menulis pun niat tak betul, nak popular… tunjuk bagus.. Pembaca menilai ikut naluri masing-masing… adakala tepat adakala prejudis. Saya sendiri pun adakalanya begitu bila membaca blog ini (Ummusaif.Com) dan Saifulislam.Com. Sesetengah topik jadi meluat. Bukan sengaja nak meluat… tapi naluri timbul sendiri hasil dari pembacaan…ramai yang begitu.” - petikan komen di Ummusaif.Com.

Saya tidak berhajat mahu memberi sebarang ulasan tentang isi kandungan komen di atas. Komen seperti ini datang hampir setiap hari.

Tetapi apa yang ingin disentuh adalah tentang satu persoalan yang boleh menjadi titik muhasabah buat diri saya dan kita semua.

Seandainya penulis komen itu berdiri di hadapan saya, apakah beliau akan bercakap perkara yang sama dengan telus seperti itu?

IDENTITI TERSEMBUNYI

Keunikan medan internet, ialah pada kemudahan menyembunyikan identiti. Kita boleh menulis, memuji, mengkritik, malah menghina dan memfitnah, tanpa perlu bertanggungjawab ke atas apa yang ditulis. Adakalanya apa yang ditulis itu sangat besar kesannya hingga boleh mencetuskan mudarat ke atas mangsa. Tetapi pemangsa tidak perlu peduli tentang hal itu kerana identitinya selamat terselindung, terutamanya apabila komen ditulis dengan identiti dan email yang tidak benar, atau menggunakan perkhidmatan hosting blog percuma seperti di Blogspot dan Wordpress.

Bercakap sesuka hati di internet di sebalik penyamaran identiti memberikan satu bentuk kebebasan yang hampir tidak pernah dikecapi di sepanjang sejarah manusia. Biar pun setiap negara mempunyai akta-akta yang digubal untuk menguruskan kebebasan ini, ruang terbuka yang bebas lagi percuma itu terlalu gergasi untuk ditundukkan oleh sebarang bentuk kawalan.

RACUN YANG MEMUSNAH

Kita sama-sama dapat melihat bagaimana sebuah dinasti pemerintahan, sebuah parti memerintah, sebuah gerakan Islam atau public figure menempuh pengalaman-pengalaman luar biasa yang tidak pernah dialaminya sebelum ini, hingga membawa sebahagiannya menjadi telur di hujung tanduk. Semuanya gara-gara lontaran bicara di medan internet yang sangat besar kesannya kepada pihak yang dituju.

Penyembunyian identiti boleh memberikan rasa gagah yang luar biasa kepada seseorang. Perasaan itu yang sebelum ini lebih ketara dikecapi oleh pembunuh bersiri yang menikmati setiap kemusnahan yang berjaya dilakukannya tanpa pendedahan identiti, kini mampu untuk turut dirasakan oleh mereka yang menulis di internet. Penyembunyian identiti di internet adalah suatu peluang baru yang datang secara percuma untuk kegunaan manusia.

TERSELAMAT?

Tetapi, sejauh manakah seseorang itu terselamat daripada tanggungjawab?

Renungilah sepotong pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ini:

falyaqulkhairan

Daripada Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka berkatalah yang baik-baik atau diam sahaja. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka muliakanlah jirannya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka muliakanlah tetamunya” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Akta-akta masih lemah pada mencari pemangsa.

Namun bagi pemangsa yang Muslim, yang bersyahadah dengan kalimah Tauhid, renungilah amaran Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka berkatalah yang baik-baik atau diam sahaja…”

BERIMAN KEPADA ALLAH

Lupakah dia itu kepada Allah?

Tuhan yang Sami’ dan Basir, yang Maha Mendengar dan Maha Melihat.

Apabila seseorang itu mahu menterjemahkan nafsu amarah, rasa hasad, benci atau apa-apa sahaja ekspresi yang negatif kepada bentuk tulisan, di manakah dia ‘meletakkan Allah di dalam pertimbangan’? Bakal mangsanya tidak akan tahu. Tetapi lupakah dia kepada Tuhan itu?

Tuhan yang Maha Memerhati, Meneliti, Mendengar, lagi Menghitung setiap butir huruf dan perkataan yang diluahkannya?

Seseorang yang beriman kepada Allah tidak akan terlajak menggunakan kebebasan menulis dan penyamaran identiti.

Mangsanya tidak tahu. Tetapi Allah Maha Tahu.

BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT

Setiap kali jari menaip, huruf-huruf yang keluar itu semuanya pasti menjadi satu antara dua. Sama ada ia menjadi pahala yang membekal diri menuju Syurga, atau menjadi butir bara dosa yang menyalakan api Neraka. Tiada yang pergi bagai debu tanpa sebarang nilai.

Dia sudah lupa akan apa yang telah ditulisnya semalam.

Tetapi Allah tidak lupa.

Dosa dan pahala sudah terakam.

Akhirat menanti dengan janji balasan.

Seorang manusia yang meyakini Akhirat sebagai negeri menerima balasan amal, akan berfikir dua kali sebelum jari jemarinya menterjemahkan ekspresi diri kepada tulisan di blog sendiri, di blog orang lain, atau di mana-mana.

KESAN SALAH GUNA

Penyalahgunaan kebebasan beridentiti di internet menimbulkan beberapa kesan yang serius ke atas Iman seseorang. Antaranya:

1. Menyemai sifat tidak bertanggungjawab ke atas perbuatan.
2. Menyemai sifat pengecut kerana tidak berupaya untuk bersemuka menyatakan pendapat.
3. Menyemai sifat Nifaq atau bermuka-muka antara sikap online dan sikap offline.
4. Menghakis imannya kepada Allah.
5. Menghakis imannya kepada Hari Akhirat.

Justeru, beringat-ingatlah kita setiap kali memindahkan rasa kepada kata.

Sama ada ia menjadi pahala, atau berubah menjadi dosa.

Renungi firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

4_114“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” [al-Nisaa' 4: 114]

Bertaqwalah kepada Allah.

Berkatalah yang baik-baik.

Atau diam itu lebih menyelamatkan.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG



Wajib Berdakwah Walaupun Diri Belum Sempurna

Ramai orang mengetahui bahawa tugas berdakwah adalah wajib ke atas setiap individu. Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak mahu melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah disebabkan oleh beberapa kekeliruan. Antara kekeliruan yang sering timbul adalah menanti kesempurnaan diri sebelum memulakan dakwah. Hal ini menyebabkan sebahagian daripada umat Islam tidak mahu mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran kerana merasakan
amalannya belum cukup mantap dan dirinya masih diselimuti dengan banyak kelemahan.

Berhubung dengan isu ini, Imam Said bin Jubair berkata: “Jika seseorang tidak mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran sehingga keadaan dirinya sempurna, maka tidak akan ada seorang pun yang akan mengajak
kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran.” Iman Malik amat bersetuju dengan kenyataan Imam Said bin Jubair ini dan sebagai tanda sokongannya, beliau menambah: “Dan siapakah antara kita yang lengkap dan sempurna?”

Sebahagian umat Islam tidak mahu berdakwah kerana merasakan dirinya
belum mengamalkan segala ilmu yang sudah diketahui. Mereka juga khuatir tidak dapat melaksanakan perkara yang diseru. Berhubung dengan ini, Imam al-Hasan berkata: “Siapakah antara kita yang telah melaksanakan segala yang
diserukannya? Syaitan amat menyukai jika manusia terpedaya dengan sikap ini sehingga akhirnya tidak ada sesiapa pun yang mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran.”

Secara dasar, kewajipan berdakwah dituntut ke atas setiap individu yang mukalaf dan berdaya. Syarat berdaya atau mampu perlu difahami dengan betul. Hakikatnya, Islam mengakui tahap kemampuan setiap individu adalah berbeza. Justeru nabi bersabda: “Barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah clicegah dengan tangannya. Jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan kata-katanya dan jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan
hatinya dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Berhubung dengan mencegah kemungkaran, kadar minimum yang dituntut adalah mengingkarinya dengan hati. Di dalam kitab Dalil al-Falihin disebutkan: “Mencegah kemungkaran dengan hati bermaksud membencinya dengan hati disertai
dengan azam untuk mencegahnya dengan lisan ataupun perbuatan apabila dia mampu. Membenci maksiat dengan hati hukumnya adalah wajib ke atas setiap
individu dan sesiapa yang menyetujui suatu kemungkaran bererti dia bersekongkol dengannya.”

Iman memerlukan bukti dan salah satu buktinya adalah membenci maksiat. Tanpanya, iman akan berkecai dalam hati seseorang. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda nabi berhubung dengan perkara ini yang bermaksud:
“(Jika hati seseorang tidak membenci kemungkaran), tidak ada selepas itu iman walaupun sebesar biji sawi.”

Hati yang tidak membenci kemungkaran akan binasa. Sahabat nabi bernama Abdullah ibn Mas’ud pernah menegaskan: “Binasalah mereka yang tidak dapat membezakan yang makruf dan yang mungkar dengan hatinya.”

Secara dasar, pengabaian dalam melaksanakan amar makruf dan nahi
mungkar mengundang azab dan seksaan daripada Allah. Berhubung dengan ini, dalam surah al-Anfal ayat 25 Allah berfirman:

“Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa ke atas mereka yang zalim dan kalangan kamu sahaja. Dan ketahuilah Allah maha keras seksaannya.”

Ayat ini menjelaskan, apabila azab menimpa disebabkan kemungkaran yang
berleluasa, ia tidak hanya menimpa ke atas mereka yang melakukan maksiat, ia juga menimpa ke atas mereka yang salih yang mengabaikan dakwah.

Ayat ini disokong oleh beberapa hadis nabi yang antaranya diriwayatkan oleh imam Muslim yang bermaksud:

“Zainab binti Jahsy bertanya kepada nabi, ‘adakah kita akan dimusnahkan sedangkan golongan yang soleh masih ada di kalangan kita?’ Nabi menjawab,‘ya, apabila kekejian berleluasa.”

Dalam riwayat lain oleh Imam Tarmizi, nabi bersabda:

“Apabila manusia melihat kezaliman dilakukan oleh seorang yang zalim
dan mereka tidak mencegahnya, tidak berapa lama lagi azab daripada Allah akan menimpa ke atas mereka semua.”

Imam Bukhari pula meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud:

“Perumpamaan mereka yang memelihara batas-batas agama Allah dengan golongan yang melanggarnya adalah seperti sebuah kapal yang dipenuhi penumpang pada bahagian atas dan bawahnya. Golongan yang berada pada bahagian bawah,
apabila ingin mengambil air terpaksa menaiki bahagian atas kapal bagi mendapatkannya. Akhirnya penumpang pada bahagian bawah berkata, ‘alangkah baiknya jika kita tebuk saja lantai kapal ini untuk mendapatkan air dan
dengan cara demikian kita tidak lagi menyusahkan rakan-rakan kita pada bahagian atas.’ Jika penumpang-penumpang pada bahagian atas tidak mencegah perbuatan akan-rakan mereka di bawah, mereka semua akan tenggelam. Jika mereka mencegah, kesemua mereka akan selamat.”

Persiapan Pendakwah Ilmu adalah asas bagi segala kebaikan. Ilmu-ilmu teras fardu ain wajib pelajari oleh setiap individu yang hendak berdakwah dan ilmu ini perlu diperkukuhkan dengan ilmu-ilmu kontemporari yang selari dengan ajaran Islam. Penguasaan ilmu memerlukan pengorbanan serta keazaman yang tinggi dan untuk
itu kerja-kerja tidak berfaedah perlu ditinggalkan. Di dalam surah
al-Mukminun ayat 3 Allah berfinnan:

“Antara sifat-sifat mukmin yang berjaya adalah mereka menjauhi
perbuatan dan perkataan yang lagha.”

Istilah lagha mempunyai maksud tertentu. Imam Ibn Kathir mentafsirkannya sebagai, “segala perbuatan batil termasuk yang mempunyai unsur-unsur syirik,
perbuatan maksiat, serta segala perkara yang tidak berfaedah sama ada dalam bentuk perkataan ataupun perbuatan.”

Membuang masa pada perkara tidak berfaedah menjadi salah satu punca
kejatuhan umat Islam sebelum ini. Hal ini disebut oleh as-Syeikh Hasan an-Nadwi di dalam bukunya “Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam”. Beliau berkata: “Tetapi sayang sekali, kaum Muslimin tidak mensyukuri
nikmat Allah. Selama berabad-abad lamanya umat Islam membuangkan waktu dan tenaga untuk berfikir dan berfalsafah berhubung perkara yang tidak bermanfaat. Andai kata mereka memfokuskan kepada ilmu yang menguntungkan Islam dan
kaum Muslimin, kedudukan mereka tidak akan menjadi separah ini. Umat Islam bukan saja asyik membahaskan tentang sifat-sifat Allah, mereka juga asyik berbicara tentang roh, falsafah wihdatul wujud dan sebagainya. Semua ini
memakan masa dan tenaga yang bukan sedikit... Hasil penemuan kaum
Muslimin sama ada dari sudut kuantiti ataupun kulitinya tidak mendatangkan apa-apa makna apabila dibandingkan dengan penemuan Barat pada abad ketujuh belas dan kelapan belas Masihi.” Apabila umat menyibukkan diri dengan perkara yang tidak berfaedah, kewajipan penting terabai dan keutamaan terbabas. Hasilnya
adalah kejahilan dan kemunduran. Justeru, sudah sampai masanya bagi
umat Islam memfokuskan pada ilmu-ilmu penting demi masa depan umat yang gilang-gemilang.

Di dalam al-Quran terdapat beberapa gelaran yang diberikan Allah kepada golongan berilmu sebagai lambang kemuliaan. Antara gelaran itu adalah rabbani. Berhubung dengan ini, Allah berfirman dalam surah ali-Imran
ayat 79:

“Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya al-Kitab, hikmat dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: ‘Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan menyembah Allah’. Akan tetapi (dia
berkata): ‘Hendaklah kamu menjadi golongan rabbani kerana kamu selalu mengajar al-Kitab dan disebabkan kamu terus mempelajarinya’ .”

Berhubung dengan ayat ini, Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir berkata:
“Ayat ini merupakan dalil bahawa golongan rabbani adalah golongan yang amat mentaati Allah dengan cara menguasai ilmu dan menyebarkannya. Cukuplah dalil
ini sebagai bukti kehebatan mereka yang mampu mengekang nafsunya bagi
menguasai ilmu kemudian disusuli dengan amal.”

Ilmu yang dituntut dalam Islam terbahagi kepada dua bahagian iaitu fardu ain dan fardu kifayah. Di dalam kitab lhya Ulumuddin, Imam al-Ghazali mendefinisikan ilmu fardu ain sebagai ilmu yang wajib dituntut oleh setiap
hamba Allah yang berakal lagi baligh tanpa pengecualian. Ilmu fardu ain yang wajib dituntut adalah yang berkaitan dengan akidah atau tauhid bertujuan
memantapkan iman, tasawuf bagi membersihkan hati serta akhlak dan fikah bagi mengetahui perkara yang diwajibkan dan diharamkan. Ilmu fardu kifayah adalah Ilmu yang wajib dikuasai umat Islam dalam bidang-bidang yang amat diperlukan
masyarakat. Namun, tidak semua individu Muslim dan Muslimah perlu
menceburi dalam bidang-bidang ini apabila sebahagian daripada umat Islam sudah menguasainya, masyarakat secara amnya terlepas daripada dosa dan bebanan.

Islam juga menuntut umatnya mempersiapkan diri dengan segala teknologi yang perlu bagi menghadapi musuh dan persiapan ini termasuk dalam tuntutan fardu
kifayah yang disebutkan sebelum ini. Allah berfirman dalam surah
al-Anfal ayat 60:

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan apa saja kekuatan yang kamu sanggup dan dan kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh.”

Umat Islam terdahulu benar-benar memahami dan menghayati ayat ini.
Contohnya, pada zaman khalifah Uthman, pada tahun 28 H bersarnaan
dengan 648 M, khalifah mengeluarkan arahan kepada Muawiyah supaya memberikan tumpuan
pada kekuatan laut yang ketika itu dikuasai oleh Rom. Bermula dari
tahun itu, pakar-pakar dan tenaga mahir Islam dihimpunkan sehingga berjaya membina sebuah armada yang kuat. Pada saat kemuncaknya pada tahun 31 H (652 M), armada Islam mempunyai 1,700 buah kapal dan bermula dari tahun itu panglima
armada Islam digelar sebagai Amirul Bahri dan daripada gelaran inilah lahiriya kalimat Admiral kemudiannya. Kekuatan armada Rom menjadi lumpuh selepas armada Islam mengalahkannya dalam peperangan Mount Phoenix pada tahun 652 M.

Di samping itu, Islam juga menuntut umatnya mengenali jahiliah pada zaman mereka supaya tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengannya. Khalifah
Omar al-Khattab mengingatkan umat Islam berhubung dengan perkara ini melalui ucapan beliau yang bermaksud:

“Sesungguhnya ikatan Islam akan terungkai satu demi satu dari diri
seseorang jika dia tidak mengenali jahiliah.”

Manifestasi jahiliah pada hari ini wujud dalam setiap bidang kehidupan manusia termasuk dalam adat resam dan budaya bangsa Melayu. Sebahagian daripada adat resam dan budaya yang diamalkan pada hari ini mengandungi khurafat dan tahayul. Khurafat dan tahayul adalah kepercayaan yang tidak
bersandankan al-Quran dan Sunnah serta tidak dapat diterima akal yang waras. Ia adalah sebahagian daripada kepercayaan yang mungkar lagi sesat. Kepercayaan ini menjadi pegangan segelintir umat Islam kesan daripada pengaruh budaya yang dibawa oleh penganut ajaran agama lain. Antara bentuk
khurafat dan tahayul yang dipegang adalah percaya kepada konsep sial
majal seperti sialnya bunyi burung hantu pada waktu siang, sialnya nombor 13 dan seumpamanya.

Di samping ilmu, pendakwah juga tidak boleh memperkecilkan keikhlasan, ibadah dan akhlak mulia kerana tanpanya dakwah akan gagal. Di dalam buku Alaamat Duiyyah Ala Thariq ad-Dakwah, Dr. Muhammad Jamil Ghazi menukilkan
perkataan Imam Sufyan at-Thauri berhubung dengan perkara ini yang
bermaksud:
“Janganlah seseorang mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran melainkan jika ada padanya tiga ciri: 1. Berlemah lembut dengan apa yang diseru dan dicegah. 2. Adil dengan apa yang diseru dan dicegah. 3. Berilmu
berhubung apa yang diseru dan dicegah.”

Perkara yang sama juga ditekankan oleh Imam Abul Laith As-Samarqandi di dalam kitab Tanbihul Ghafilin. Beliau membahagikan persiapan umum
pendakwah kepada lima: “1: Ilmu. 2: Keikhlasan. 3: Kasih sayang dan kelembutan. 4: Kesabaran. 5: Mengamalkan apa yang disampaikan.”

Pendakwah yang asyik mengutuk dan mencanangkan kesalahan orang lain dan melupakan diri sendiri merupakan pendakwah yang terbabas danipada obor al-Quran dan Sunnah. Benarlah As-Syeikh Fathi Yakan semasa beliau berkata di dalam bukunya yang bertajuk Musykilat ad-Dakwah Wa ad-Daaiyah yang bermaksud:

“Seseorang pendakwah akan berada di dalam keadaan baik jika dia bersih dari keaiban dan penyakit diri sendiri walaupun musuhnya mempunyai kekuatan yang hebat.”


Sebenarnya, kenyataan seumpama ini pernah diucapkan oleh khalifah Omar al-Khattab suatu masa dahulu semasa beliau menyampaikan amanat kepada tentera-tentera Islam. Beliau berkata:

“Hendaklah kamu berwaspada terhadap perbuatan-perbuatan maksiat daripada kewaspadaan terhadap musuh. Sesungguhnya aku lebih bimbang dengan dosa yang
dilakukan oleh tentera-tentera Islam berbanding kebimbanganku terhadap musuh. Sesungguhnya umat Islam mendapat pertolongan daripada Allah lantaran kemungkaran yang dilakukan oleh pihak musuh.... Oleh itu janganlah kamu melakukan perkara yang dimurkai Allah ketika sedang berjihad di jalan Allah.”

Hukum Berdakwah

Rasul-rasul tidak diamanahkan melainkan dengan tugas-tugas mulia
dan Allah mengamanahkan mereka supaya melaksanakan dakwah. Di dalam surah an-Nahl ayat 36, Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami utus bagi setiap umat seorang Rasul yang menyeru, ‘sembahlah Allah dan jauhilah taghut’.”

Sesiapa yang melaksanakan tugas dakwah mendapat pujian daripada Allah berdasarkan firman-Nya dalam surah Fussilat ayat 33, yang bermaksud:

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang menyeru manusia ke jalan Allah, serta beramal salih seraya berkata, ‘aku adalah dari kalangan orang-orang Muslim’.” Berhubung dengan ayat ini as-Syeikh Said Hawa di dalam al-Asas fit Tafsir berkata: “Termasuk di dalam golongan ini adalah semua penyeru dan pendakwah di jalan Allah... Dan mengikut Imam Ibn Kathir,
orang yang tidak mengerjakan yang makruf tidak termasuk dalam golongan yang mengajak kepada yang makruf dan juga tidak termasuk dalam golongan mereka yang mencegah kemungkaran mereka yang melakukan kemungkaran.”

Oleh kerana dakwah adalah tugas yang mulia lagi penting, Allah
mengarahkan umat Islam melaksanakannya. Berhubung dengan ini, dalam surah ali-Imran ayat
110, Allah berfirman:

“Kamu adalah sebaikbaik umat yang dikeluarkan bagi manusia, kamu
mengajak kepada makruf dan kamu mencegah kemungkaran.”

Di dalam kitab Usul ad-Dakwah, Dr. Abdul Karim Zaidan berpendapat ayat ini mempunyai dua penekanan. Pertama, Allah menjelaskan kebaikan umat ini dan kedua, kebaikan umat ini berkait rapat dengan pelaksanaan amar makruf
dan nahi mungkar. Berkaitan dengan ayat yang sama di dalam kitab Dalilul Falihin disebutkan: “Barang siapa menepati sifat-sifat yang disebutkan dalam
ayat ini, dia tergolong dalam golongan umat terbaik.”

Tidak ada kemuliaan bagi mereka yang mengabaikan amar makruf serta nahi mungkar. Makruf bermaksud perkara yang baik mengikut pandangan syarak dan akal, manakala mungkar bermaksud perkara yang berlawanan dengan segala yang
makruf sebagai contoh, meninggalkan amalan fardu ataupun melakukan perbuatan haram sama ada berbentuk dosa kecil ataupun dosa besar.

Salah satu golongan yang mendapat kutukan daripada Allah kerana gagal melaksanakan dakwah adalah golongan Bani Israel. Dalam surah al-Maidah ayat 78 dan 79, Allah berfirman:

“Telah dilaknat golongan kafir dan kalangan Bani Israel dengan lisan
Daud dan Isa putera Maryam. Hal ini disebabkan mereka menderhaka kepada Allah dan selalu melampaui batas. Mereka tidak mencegah kemungkaran yang berlaku di
kalangan mereka. Sesungguhnya buruk sekali apa yang telah mereka
lakukan.”

Berhubung dengan ayat ini nabi bersabda:

“Sesungguhnya kecacatan paling awal yang menimpa ke atas Bani Israel ialah, apabila seseorang lelaki bertemu dengan lelaki yang lain (yang melakukan kemungkaran) dia akan berkata, ‘wahai pulan, tinggalkanlah apa yang sedang
kamu lakukan kerana ianya tidak halal bagimu’. Kemudian pada keesokan harinya dia tidak lagi mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh rakannya, sebaliknya dia reda untuk duduk sambil makan dan minum dengan rakannya itu. Apabila hal ini berlaku, Allah bolak-balikkan hati-hati mereka. (Kemudian Nabi pun membaca ayat-ayat dan surah al-Maidah mi).” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tarmizi dan Abu Daud.

Secara dasarnya, hukum berdakwah dengan lisan dan tangan adalah wajib kecuali dalam situasi tertentu. Di dalam kitab Dalilul Falihin disebutkan:
“Apabila dikhuatiri harta benda dan diri seseorang akan ditimpa
kebinasaan, harus bagi seseorang itu sekadar melawan dengan hatinya sahaja. Jika kekhuatiran ini tidak wujud, dia diwajibkan berdakwah, walaupun dia belum mengamalkan apa yang diserukannya ataupun dia menyedari seruannya tidak akan
diterima.”

Sehubungan dengan ini, Imam al-Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin
menyenaraikan empat keadaan yang mungkin ditempuhi pendakwah.

1. Tidak wajib berdakwah
Pendakwah menyedari dakwahnya tidak akan mendatangkan sebarang manfaat dan berkemungkinan dia akan dipukul, dicederakan atau dibunuh. Dalam suasana seperti ini, tidak wajib baginya melaksanakan dakwah.

2. Wajib berdakwah Pendakwah menyedari dakwahnya boleh menyebabkan kemungkaran tercegah
dan tidak ada sesiapa pun yang berani melakukan sebarang tindak balas ke atasnya. Dalam suasana seperti ini, dia wajib melaksanakan dakwah.

3. Sunat berdakwah 1 Pendakwah menyedari dakwahnya tidak akan mendatangkan sebarang kesan positif dan dia sanggup memikul sebarang risiko yang mungkin menimpa ke atas dirinya. Dalam situasi seperti ini, dia disunatkan menyampaikan dakwah
tetapi tidak diwajibkan ke atasnya.

4. Sunat berdakwah 2 Pendakwah menyedari dakwahnya akan memudaratkan dirinya tetapi jika
dilakukan juga ia dapat mencegah kebatilan yang sedang berlaku. Dalam keadaan seperti ini, dakwah disunatkan ke atasnya.

Dalam memperincikan perkara ini, as-Syeikh Said Hawa di dalam Jundullah Jihad Fi Sabilillah berkata: “Contoh-contoh keadaan bahaya atau mudarat yang dikira sebagai alasan yang sah untuk tidak melaksanakan amar makruf dan
nahi mungkar ialah dipukul dengan teruk, dimusnahkan rumah dan tempat tinggalnya, diambil segala harta bendanya dan yang seumpamanya. Jika kemudaratan
yang akan menimpanya hanyalah dalam bentuk dihina, caci, maki, kutuk, perli, sindir dan sebagainya, kewajipan berdakwah tetap dibebankan ke atasnya
kerana Allah mengarahkan agar kita bersabar ketika melaksanakan
kerja-kerja dakwah.”

Bagi individu yang sanggup menanggung sebarang risiko, syariat Islam mengizinkannya melaksanakan dakwah walaupun dia mungkin dibunuh. Walau bagaimanapun, kesanggupannya untuk berkorban perlu juga diimbangi
dengan hasil yang bakal diperolehi supaya pengorbanannya tidak dilakukan secara semberono yang bakal merugikan perjuangan. Ibn Abidin di dalam Hasyiahnya
menjelaskan:

“Disebutkan dalam kitab Sharh al-Siyar diizinkan seseorang mencegah
bidaah dan kemungkaran walaupun besar kemungkinan dia akan dibunuh, dicederakan ataupun dikalahkan kerana ada di kalangan sahabat nabi yang melakukannya
pada zaman Rasulullah dan baginda memuji mereka. Walau bagaimanapun,
apabila individu itu mengetahui dia tidak akan dapat mengalahkan musuhnya dan penentangan yang akan dilakukannya tidak akan mendatangkan sebarang kemuliaan bagi agama, dia tidak diizinkan melakukan pencegahan itu secara
individu.”

Dalam berdakwah, setiap pendakwah perlu mengetahui isu-isu semasa bagi menangkis keraguan-keraguan yang timbul

sumber : abuhandzalah weblog



Selamatkan Uda dan Dara Dengan Hikmah Puasa

September 5th, 2009 | by Abu Saif
ABU SAIF @ www.saifulislam.com


“Ustaz, rasanya saya ni memang dah sampai ke tahap wajib untuk kahwin,” kata seorang mahasiswa.

“Kalaulah anta juga sudah memang sampai tahap wajib berjihad!” saya mengusik.

“Err…” beliau kebingungan.

“Ana gurau je. Apa yang membawa anta berjaya sampai ke tahap wajib kahwin ni?” saya mengajak beliau kepada diskusi.

“Ye lah, hari-hari terserempak di kuliah. Hari-hari terserempak di kafe. Susah nak elak!” ujar beliau dengan nada serius.

“Oh, susahlah macam tu. Kalau anta sentiasa terpaksa berkahwin dengan orang yang anta terserempak hari-hari, jenuh la masa kerja di KLCC nanti. Ramai orang ‘hebat’ yang anta bakal terserempak setiap hari!” saya cuba mencuit perasaannya.

“Ustaz! Tak membantu langsung la macam ni!” kata beliau dengan nada agak kecewa.

“Haha, janganlah kecil hati. Ustaz mengusik aje. Tapi dalam usik tu ada kebenarannya. Betul tak?” saya menepuk bahunya.

Beliau tersengih.

“Kalau anta yakin yang anta sudah sampai ke tahap wajib kahwin, apa yang menghalangnya?” saya bertanya lagi.

“Segalanya, ustaz. Ibu bapa, penaja, financial dan seluruh petala langit dan bumi!” kata beliau dengan nada dramatik.

Saya ketawa. Antara kasihan dan geli hati.

“Hmm, kalau begitu nampaknya anta kenalah berpuasa sebab sudah ada keinginan yang tinggi, tapi belum ada kemampuan,” saya berkongsi.

“Puasa tu puasa dah ustaz. Tapi keinginan tu tak pernah pudar. Zaman student macam ini memang selalu terpaksa puasa pun. Terutamanya hujung bulan. Kalau tak mee segera, puasalah jawabnya!” tambah beliau lagi.

“Puasa yang macam itu tidak membantu anta. Ia bukan latihan. Ia bukan puasa yang dimaksudkan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam,” saya seperti sudah bertemu dengan salah satu ‘masalah’ anak muda ini.

“Maksud ustaz?” beliau meminta huraian.

PUASA SEBAGAI BENTENG

wijaa

“Wahai sekalian anak muda, barangsiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan maka bernikahlah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata serta lebih menjaga kehormatan diri. Dan barangsiapa yang belum mampu hendaklah berpuasa, kerana puasa itu dapat membentenginya.” [Muttafaq ‘Alaih]

Itu pesanan Rasulullah Sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada anak muda yang berkeinginan tetapi belum berkemampuan.

Mereka disarankan berpuasa kerana puasa itu mampu bertindak sebagai benteng yang menghalang dirinya menjamah larangan Allah Subhanahu wa Ta’aala.

Namun, mekanisme puasa sebagai benteng perlu difahami. Andai benteng itu hanya benteng sekadar mengempang keinginan, risikonya tinggi. Tembok empangan itu bisa pecah kalau tekanan yang tolak menolak antara air dan empangan dibiarkan tanpa pengawasan.

Tidak makan kerana tiada makanan, itu bukan puasa yang mendidik gelora anak muda.

Tidak minum kerana tiada minuman, itu bukan puasa yang berfungsi mentarbiyyah nafsu yang berkeinginan tinggi.

Sebaliknya jika kita ada segalanya untuk dimakan, lalu kita memilih untuk tidak makan kerana mahu mentaati Allah, maka barulah ia jadi sebuah latihan.

Apakah latihan itu?

Latihan untuk berkata TIDAK kepada sesetengah keinginan diri kerana mahu mentaati Allah. Latihan yang meningkatkan daya kawalan diri.

BUKAN HANYA PUASA RAMADHAN

Inilah yang mesti dihayati oleh anak muda yang berpuasa kerana menahan diri dari nikah seketika. Ia mesti berlaku dalam keadaan kita sedar apa yang sedang kita lakukan, maka barulah ia berperanan sebagai tarbiyyah ke atas diri. Puasa itu bukan menyekat kemahuan bernikah semata-mata, antara terbit mentari hingga tenggelamnya suria. Jika puasa sekadar itu, jiwa akan menjadi ganas memberontak di kelam malam!

Sebaliknya puasa itu harus dihayati sebagai latihan untuk berkata tidak.

Belajar untuk meningkatkan kawalan diri.

Apatah lagi dengan puasa sunat yang dilakukan ketika manusia lain tidak berpuasa. Ia benar-benar satu latihan untuk diri kita berkata TIDAK kepada banyak kemahuan diri yang boleh diketepikan seketika, demi mentaati Allah.

KESAN HIDUP YANG KONDUSIF

Dalam suasana kehidupan kita yang semakin kondusif, hampir sahaja mendapat apa yang diinginkan, apa yang terkorban adalah kekuatan diri untuk mengawal keinginan. Apa hendak semua dapat, ketika kehendak itu hanya pada membeli buku, membeli pakaian, membeli gajet atau melancong ke sana sini. Tetapi tatkala kehendak itu adalah pada sebuah NIKAH, ia bukan lagi semudah mengisi kehendak-kehendak yang lain.

Ada banyak yang perlu dipertimbangkan.

Justeru mungkin pengalaman mahu bernikah menjadi pengalaman pertama si anak muda berdepan dengan situasi tidak mampu mencapai impian dan keinginan. Namun dek kelemahan diri yang sukar untuk berkata TIDAK dan menundukkan kemahuan kerana sudah biasa dapat apa sahaja yang dihajat, kebijaksanaan minda dan ketinggian mata akademik bagai kosong dari sebagai nilai jati diri.

Tumpas.

Manusia yang gagal berkata tidak kepada sebahagian keinginan diri, mereka menjadi hamba kepada nafsu dan diri sendiri. Manusia ini disesatkan oleh Allah, biar pun dengan ilmu yang berlapis tujuh di dada dan minda.

“Apakah engkau tidak melihat gelagat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipatuhinya, justeru dia disesatkan oleh Allah di atas ilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” [al-Jaathiyah 45: 23]

Itulah bencana lemah kawalan diri.

Sentiasa terpaksa mengikut apa sahaja yang diinginkan hingga tidak mampu berkata tidak di mana perlu.

Justeru bagi anak muda yang sedang sampai tahap wajib kahwin namun terhalang oleh 1001 halangan, wajibkanlah dirimu dengan jihad mengawal nafsu dan keinginan diri.

1749

KESIMPULAN

Setiap kali seorang anak muda berpuasa, ingat-ingatlah kepada pakejnya yang diberikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

akupuasa

Bukanlah berpuasa itu sekadar menahan dari makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu juga adalah menahan diri dari perkara yang sia-sia dan kotor (lucah). Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka berkatalah: Sesungguhnya aku berpuasa [riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068]

Puasa sudah diberi sebagai wija’.

Ia hanya berperanan sebagai latihan apabila puasa itu menahan diri daripada:

1. Makan
2. Minum
3. Perkara-perkara lagha dalam kehidupan
4. Perkara-perkara lucah atau yang bersangkutan dengan naluri seksual
5. Bertindak reaktif membalas provokasi.

Jika puasa untuk menangguh nikah hanya dibuat dengan menahan diri daripada makan dan minum, ketahuilah ia tidak akan bertahan. Seorang anak muda juga harus mencegah dirinya daripada perkara-perkara yang lagha dalam kehidupan seharian. Sibukkan diri dengan hal-hal yang bermanfaat.

Seorang anak muda juga harus mencegah dirinya daripada perkara-perkara rafas, yakni sebarang aktiviti yang menjurus kepada rangsangan seksual. Baik dalam bentuk percakapan, fikiran atau pun tindakan perbuatan.

Seorang anak muda juga, di samping puasa makan minumnya, harus belajar untuk tidak menjadi hamba perasaan. Jangan emosional. Belajar mengawal diri dan mampu mengawal keinginan daripada bertindak hasil dorongan perasaan dan bukannya fikiran.

Puasa bukan empangan yang menanti pecah.

Ia adalah tarbiyyah dari Allah untuk kalian proaktif, memilih tindakan hasil saringan dan bukannya bertindak mengikut rangsangan dan perasaan.

“Alhamdulillah. Terima kasih ustaz,” kata anak muda itu.

“Sama-sama” saya menjawab.

“Cuma, macam mana kalau saya faham semua nasihat ustaz itu tetapi tiada kekuatan untuk melaksanakannya?” soalan tambahan pula diajukannya.

“Oh, senang sahaja. Ambil tangan letakkan kepada api!” saya memberi simpul mati.

“Oh, hehe!” ketawa beliau kerana sudah tiada apa yang mahu disoalkan lagi.

Anda berusaha.

Kami doakan.

Dipetik dari blog:-
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG



Sponsored Ads