feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Waspada fahaman Islam liberal


Tekun...para peserta yang mengikuti seminar di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KALANGAN Muslim yang prihatin begitu bimbang dengan ajaran sesat dan pertelagahan sesama sendiri soal furuk (cabang) dalam agama terutama pada perkara-perkara bidaah yang timbul selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.

Bagaimanapun, jarang yang sedar dan prihatin akan ancaman yang jauh lebih bahaya dalam memesongkan akidah serta tauhid Islami serta fitrah kemanusiaan itu sendiri dalam Islam liberal.

Sebabnya, ancaman ideologi yang jelas bercanggah dengan al-sunnah dan al-Quran melalui aliran pemikiran moden yang mengsinonimkan falsafah Islam berpaksikan akal dengan pemikiran barat yang memesongkan akidah itu sudah menjadi 'pakaian' dan 'sajian' harian hidup ummah kini.

Mengguna label Islam liberal dengan memperjuangkan hak kebebasan dan hak asasi manusia, umat Muslim sebenarnya sudah diresapi dengan 'akidah' liberalisme dan pluralisme yang menjadi agenda dalam doktrin Yahudi-Kristian dalam menghancurkan Islam melalui pemesongan akidah Muslim

Akidah menurut Profesor Dr. Hamka, terhimpun kepada tiga iaitu tauhid yang menjadi pokok kepercayaan tentang Keesaan Allah SWT, Al-Risalah iaitu manusia pilihan Allah yang di utus menyampaikan wahyu-Nya bagi membimbing manusia dalam kehidupan dan Al-Baats iaitu kepercayaan kepada hari berbangkit untuk kehidupan kedua yang berkekalan. (Tafsir Al-Azhar: mukadimah juzuk 17).

Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Maka hadapkanlah dirimu dengan lurus kepada agama Allah, (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah (agama) Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Fitrah Allah ialah ciptaan Allah iaitu manusia diciptakan Allah mempunyai naluri beragama iaitu agama Tauhid. Kalau ada manusia tidak beragama Tauhid, maka hal itu tidaklah wajar. Mereka tidak beragama Tauhid adalah kerana pengaruh lingkungan kehidupan). (ar-Ruum: 30).

Namun, manusiawi dan sikap kebendaan sudah mengambil alih peranan dalam kebanyakan amalan dan budaya hidup ummah era kini berbanding al-Quran dan al-sunnah sebagai pegangan untuk kekal meng-Esakan Allah SWT.

Menurut Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zain al-Ghari, fahaman sesat ada pada setiap zaman tetapi ancaman pemikiran moden mengsinonimkan Islam dengan falsafah pemikiran barat melalui liberalisme dan pluralisme adalah ancaman dan fitnah zaman ini yang jauh lebih bahaya.

Katanya, agama dan semua kepercayaan selain Islam bukan agama, sebab semuanya bersifat kemanusiaan dan perkara rekaan.

"Semua agama rekaan manusia itu tidak mungkin boleh dianggap sebagai agama. Hanya Islam yang meng-Esakan Allah SWT agama dan kepercayaan yang mutlak," katanya.

Ini telah ditegaskan Allah SWT dalam al-Quran yang mafhum-Nya: Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. (ali-'Imran: 85).

Oleh itu, kata Zamihan, hanya Islam satu-satunya agama kerana ia tidak ditokok tambah dan direkacipta oleh manusia untuk manusia.

Malah tegas beliau, Islam adalah agama yang paling cantik, komprehensif, natural, rasional dan mengikut fitrah makhluk lagi eksklusif yang tidak berubah sejak dulu, kini dan selamanya.

"Kerana kecantikan dan kesempurnaan Islamlah menyebabkan ia dicemburui oleh 'pereka' kepada pelbagai kepercayaan lain," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika membicarakan 'Ancaman liberalisme dan pluralisme' pada Seminar Isu-Isu Semasa Akidah untuk kakitangan kerajaan dan badan-badan berkanun pada 10 November lalu.

Seminar sehari anjuran Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan itu diadakan di dewan serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Ancaman Islam liberal kini kata Zamihan, amat serius kerana ia melibatkan secara menyeluruh di semua peringkat dari barisan kepimpinan dan pengurusan sama ada dalam politik, sosial, budaya, ekonomi dan agama itu sendiri hingga kepada individu.

"Ia berbahaya kerana mereka memperjuangkan prinsip kebebasan dan rasional akal tanpa batasan," katanya.

Menurut Zamihan, kebebasan bersandarkan logik atau rasional secara terbuka tanpa had bukan sahaja menyimpang daripada landasan Islam malah melampaui syariat dan prinsip dalam al-Quran dan al-Sunnah itu sendiri.

Kata beliau, Islam berasaskan al-Quran dan al-sunnah untuk menegakkan akhlak berbeza dengan langkah menjaga moral yang dilaungkan Islam liberal.

Melalui liberalisasi agama pula tambahnya, wujud sekularisme yang menyaksikan semua perkara berkaitan urusan dunia dipisahkan daripada syariat agama.

"Usaha pembaratan ini sudah bermula sejak Perang Salib lagi kerana musuh Islam sedar Muslim tidak dapat dikalahkan selagi kita berpegang teguh akidah al-Quran dan al-sunnah," tegasnya.

Maka itu katanya, wujud pemikiran nasionalisme, demokrasi, pluralisme politik, hak asasi manusia, feminisme, kebebasan, globalisasi dan Islam liberal memesongkan soal aqidah Muslim.

Pegawai Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Rashidy Jamil Muhammad Ar-Rashid pula memberitahu, usaha terbaru proaktif memesongkan akidah Muslim adalah mengedarkan buku-buku Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru kepercayaan Kristian berbahasa Melayu bertajuk Al-Kitab: Berita Baik secara percuma oleh kumpulan pendakyah Kristian.

Buku olahan baru dan semasa dari Kitab Bible dan Gospels Kristian itu juga turut dijual di kebanyakan kedai-kedai buku sebaris dengan kitab-kita Islam dengan meluas.

"Pengedaran tulisan khat arab yang dipetik dari buku-buku bible dan gospels pegangan Kristian yang menyerupai ayat-ayat al-Quran juga sedang bertebaran dan memenuhi ruang rumah, kedai, pejabat dan sesetengah tempat ibadah Muslim," jelasnya.

Sebab itu, tegas Rashidy, umat Islam yang dangkal agama dan bahasa Arab perlu lebih berhati-hati dan prihatin dalam memilih kitab dan tulisan khat serta kaligrafi Bahasa Arab.

"Bible telah diterjemah ke dalam lebih 2,000 bahasa, tetapi Buku Al-Kitab: Berita Baik edisi Bahasa Melayu bukanlah dari Taurat dan Holy Bible Kristian yang asli," jelasnya.

Sebaliknya kata beliau, ia mengandungi ayat-ayat untuk menyuntik idealisme Yahudi-Kristian ke pemikiran dan akidah Muslim Melayu yang membacanya.

Beliau yang banyak terlibat dalam dialog dan perdebatan mengenai Islam dan Kristian dengan paderi serta pendakyah agama seluruh dunia itu membuat pendedahan tersebut ketika membicarakan tajuk 'Ancaman Kristianisasi di Malaysia' pada seminar tersebut.

Menurut Rashidy, identiti Islam pada umatnya sekarang sudah hilang dan hampir seluruh kehidupan harian kebanyakan Muslim dikuasai budaya dan idealisme Kristian-Yahudi.

"Sebab itulah ramai Muslim yang terpesong akidahnya dan tidak kurang pula yang begitu mudah dimurtadkan," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Hukum Hakam (Istinbat) Jabatan Mufti Selangor, Mat Jasi Kamos pula berkata, kejahilan Muslim mengenai Islam menjadi punca utama akidah mereka terpesong.

Kerana jahil katanya, ramai mengambil jalan pintas untuk 'mendapatkan syurga' dan mendekatkan diri dengan Allah, sehingga tidak dapat membezakan antara mukjizat, karamah (keramat) dan istidraj (luar biasa) yang dibawa oleh seseorang atau kumpulan atas nama agama.

"Akibatnya ramai yang bertuhankan kepada sesama manusia dan mereka juga taksub dengan kebendaan sehingga memesongkan akidah," katanya.

Begitupun kata Mat Jasi, setiap individu Muslim bertanggungjawab melaksanakan dakwah bagi mengembalikan akidah Islam kepada sesama manusia.





Atasi isu pekerja asing

http://www.utusan.com.my/utusan/

Oleh NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Seorang Ahli Parlimen hari ini melahirkan rasa kecewa kerana kerajaan masih gagal menyelesaikan isu kebanjiran pekerja asing yang sudah bertahun-tahun membelenggu negara ini.

Malah dengan nada berang, Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) turut menempelak Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad kerana memberikan jawapan terlalu panjang dan berjela-jela berhubung isu itu.

‘‘Jawapan panjang tetapi tidak sampai ke lubuk hati. Saya tak nak berlakon dalam perkara ini.

‘‘Sebagai rakyat Malaysia, kita mahu satu penyelesaian dicari terhadap tanggapan bahawa negara ini adalah syurga bagi warganegara asing untuk mencari nafkah tetapi neraka bagi rakyat kita sendiri,” katanya semasa mencelah pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mohamad, sudah bertahun-tahun kementerian itu memaklumkan akan menyelesaikan isu kehadiran ramai pekerja asing tetapi sehingga kini tiada tindakan konkrit dibuat.

Beliau yang sudah 18 tahun menjadi wakil rakyat termasuk sembilan tahun sebagai Ahli Parlimen juga kesal kerana sehingga kini tiada sebarang langkah tegas diambil bagi memastikan pekerja rakyat tempatan mendapat gaji munasabah iaitu lebih tinggi berbanding golongan miskin tegar.

Tindakan Mohamad yang berkali-kali meninggikan suara kepada Noraini itu ditegur oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mahukan sikap sedemikian dihentikan.

Dalam pada itu, Noraini yang menjawab soalan asal Aaron Ago Dagang (BN-Kanowit) menjelaskan, pendapatan purata asas setiap pekerja di negara ini adalah berbeza mengikut sektor dan ia juga berdasarkan proses rundingan antara persatuan majikan dan kesatuan sekerja.

Katanya, pendapatan purata asas adalah sebanyak RM573 sebulan bagi pekerja kedai kopi, RM628 sebulan (pertanian), RM697 sebulan (perhotelan), RM853 sebulan (pasar raya) dan RM952 sebulan (pembinaan).

Sementara itu, sesi soal jawab bertukar suasana kepada ceria apabila Datuk Mukhriz Mahathir (BN-Jerlun) yang bangun untuk mengemukakan soalan seterusnya, memaklumkan bahawa hari ini adalah tarikh lahirnya.



36 juta penduduk AS tidak cukup makan

WASHINGTON 18 Nov. - Lebih 36 juta penduduk Amerika Syarikat (AS) menghadapi masalah tidak cukup makan dengan satu pertiga daripada mereka - untuk tempoh tertentu - turut mengalami masalah kebuluran. Jumlah tersebut dilaporkan merupakan peningkatan lebih 50 peratus berbanding tahun 2006.


Kajian tahunan oleh Jabatan Pertanian AS (USDA) pada tahun lalu turut menunjukkan, kira-kira 700,000 kanak-kanak di negara ini terpaksa berlapar untuk tempoh tertentu kerana tiada bekalan makanan.


"Secara keseluruhan, 11.1 peratus atau 36.2 juta penduduk mengalami masalah tidak cukup makan sepanjang 2007.


"Pada tahun 2006 hanya 10.9 peratus atau 35.5 juta penduduk mengalami masalah tidak cukup makan," kata jabatan itu dalam laporannya yang dikeluarkan, semalam.


Menurut kajian USDA itu, kira-kira 4.1 peratus isi rumah atau 11.9 juta penduduk dikategorikan dalam kumpulan "sangat kurang bekalan makanan" sehingga terpaksa mengikat perut.


Jumlah tersebut meningkat dengan ketara berbanding kira-kira 3.8 juta penduduk pada 1998.


"Ia menunjukkan peningkatan terbesar," kata Jim Weill dari Pusat Tindakan dan Penyelidikan Makanan (FRAC).


Beliau berkata, berdasarkan data dan laporan yang diperolehi, jelas menunjukkan jumlah penduduk yang berdepan dengan masalah itu semakin membimbangkan.


Sehubungan itu, beliau menggesa Kongres meningkatkan bantuan makanan di bawah pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan pada minggu ini, sekurang-kurangnya untuk tempoh jangka pendek.


- Agensi


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm




Mahasiswa Felda cadang wujud ikon Mahasiswa kepada Belia Felda

header.gif


Sempena majlis Anugerah BeliaFelda Malaysia (ABFM) 2008, yang di adakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya baru-baru ini, Felda telah melantik beberapa ikon Belia Felda Malaysia untuk dijadikan inspirasi kepada generasi beliau di seluruh tanah rancangan Felda di negara kita.


Antara mereka yang dipilih adalah Datuk Azhar Mansor, ratu skuasy dunia, Datuk Nicol Ann David; Angkasawan Negara, Mejar Dr Faiz Khaleed, wanita pertama menakluk kutub, Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir; Kartunis terkenal, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat; Pengasas Mercy Malaysia, Datuk Dr Jemilah Mahmood; pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah; jaguh bowling, Shalin Zulkifli; wanita pertama menawan gunung Everest, Marina Ahmad dan kumpulan nasyid, Raihan.

Anugerah yang diberikan oleh Dato’ Seri Najib ini dilihat sebagai satu langkah yang baik ke arah melahirkan generasi baru Felda yang lebih cemerlang dan terbilang. Seperti yang diketahui umum, masalah sosial yang ketara dalam kalangan generasi kedua Felda cukup membimbangkan. Bahkah kawasan felda seringkali dikaitkan dengan “sarang” dadah dan belia bermasalah.


Menurut Presiden Penaja Persatuan Mahasiswa Nasional iaitu Saudara Malek Bin Hassan, beliau menyatakan bahawa sepatutnya Felda memilih mahasiswa sebagai ikon belia kerana mereka merupakan kelompok anak-anak Felda yang berjaya. Kejayaan mereka sepatutnya dihargai oleh pihak Felda dan diberi pengiktirafan.


Di samping itu, menurut saudara Mohd Faisal Bin Mustaffa yang juga merupakan salah seorang koordinator penaja Persatuan Mahasiswa Felda Nasional juga melihat bahawa keadilan yang sewajarnya perlu diletakkan kepada mahasiswa Felda.


Sekiranya kejayaan anak-anak bukan yang dilahirkan di Felda boleh dijadikan ikon, mengapa mahasiswa Felda senidiri yang berjaya tidak dijadikan ikon oleh Felda.


Sewajarnya untuk melantik ikon ini keutamaan perlu diberikan kepada anak-anak Felda yang berjaya kerana mereka sahajalah yang pernah merasai pahit maung hidup di Felda yangs suatu ketika dahulu penuh dengan kekurangan, ujar beliau.


http://mahasiswakini.com/archives/551#more-551





Penjelasan kumpulan Raihan, Rabani dan Hijaz...

Tiga kumpulan nasyid terkenal - Raihan, Rabbani dan Hijaz - yang berakar umbi daripada pertubuhan al-Arqam yang diharamkan sepuluh tahun lalu, menjelaskan bahawa "mereka telah bersih sepenuhnya ".

Pengaruh ajaran al-Arqam yang diharamkan seperti Aurad Muhammadiah juga didakwa tidak tersebar dalam dunia hiburan nasyid arus perdana tanah air.

nasyid group album 181108 raihanAnggota Raihan, Abu Bakar Md Yatim yang pernah terlibat dalam pertubuhan itu berkata, penglibatan mereka dalam al-Arqam sebelum diharamkan pada 1994, lebih bersifat "ikut-ikut saja".

Tidak menafikan wujudnya kekeliruan ketika bergiat di dalam pertubuhan itu, Abu Bakar berkata, mereka ketika itu cuma hendak mengamalkan ajaran Islam seperti tidak meninggalkan solat dan menutup aurat.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua ahli kumpulan mereka pernah menganggotai Arqam, sebaliknya hanya beliau dan Amran Ibrahim sahaja kini merupakan bekas ahli pertubuhan itu.

Dua lagi anggota kumpulan terkenal itu ialah Che Amran Idris dan Zulfadli Mustaza.

Abu Bakar yang juga bekas ahli The Zikr - sebuah kumpulan nasyid 'lagenda', selain Nada Murni yang dipengaruhi Al-Arqam - berkata, sepanjang pemantauan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tiada kumpulan yang dapat dikenalpasi mengikuti ajaran negatif kumpulan itu.

‘Suka hiburan Islam'

Menurutnya, agensi agama itu memantau lirik dan penyampaian kumpulan-kumpulan nasyid yang berasal daripada pertubuhan pimpinan Ashaari Muhammad itu.

Abu Bakar turut menafikan terdapatnya pengaruh ajaran itu di kalangan kumpulan nasyid tidak terkenal yang bergerak secara underground.

"Kebanyakan mereka ini orang muda yang berpelajaran, suka hiburan Islam, lebih kepada pengaruh muzik. Mereka ini sukakan hiburan. Macam kami, memang kami suka menyanyi di samping ingin berdakwah."

The Zikr ditubuhkan awal 90-an dan bergiat lebih lima tahun selepas itu. Ahli-ahlinya kemudian membentuk kumpulan baru Raihan.

Kumpulan ini mendapat sambutan hangat. Album pertama mereka, 'Puji Pujian' terjual lebih dua juta unit di seluruh dunia.

nasyid group album 181108 rabbaniSementara itu, seorang ahli kumpulan Rabbani, Mohd Asri Baidul berkata kumpulannya tidak lagi mengamalkan ajaran-ajaran yang tidak baik pertubuhan itu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Asri Ubaidullah berkata, stigma mereka sebagai bekas ahli al-Arqam memang tidak boleh disorok lagi.

‘Proses tapisan'

Rabbani dianggotai sembilan anggota - kesemuanya bekas ahli al-Arqam - pernah bergiat dalam Nada Murni, sebuah kumpulan nasyid terkenal tajaan al-Arqam.

Ia ditubuhkan pada 1987 dan menghasilkan menerbitkan lebih 200 lagu dalam 20 album. Kumpulan ini dibubarkan apabila ahli-ahlinya keluar daripada al-Arqam dan membentuk dua kumpulan baru -- Rabbani dan Hijaz.

Menceritakan pengalamannya dalam al-Arqam, beliau berkata, karya-karya mereka di dalam pertubuhan itu harus mengalami proses tapisan "orang-orang tertentu" dalam majlis kebudayaan al-Arqam sebelum boleh diterbit dan dipersembahkan.

"Kalau karya Ashaari senang saja, kalau kita sendiri yang tulis, mesti ditapis," kata Mohd Asri.

Beliau bagaimanapun mengakui Ashaari memang seorang penulis yang prolifik. Daripada lebih 200 lagu-lagu dendangan Nada Murni, separuh daripadanya, termasuk liriknya, ditulis oleh Ashaari.

Namun, tambahnya, hanya beberapa lagu sahaja yang bersifat propaganda pertubuhan itu seperti 'Bila Abuya Pulang' dan 'Malaysia Indah'.

‘Salah sangka'

nasyid group album 181108 hijjazAnggota Hijjaz, Ismen Nadim Isam pula ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau tiada lagi pengaruh ajaran al-Arqam dalam kumpulan itu.

Mereka bahkan mengelak merakamkan semula lagu-lagu dan menggunakan lirik Ashaari dalam album-album mereka.

Bagaimanapun, tambah Ismen, pendengar selalu salah menyangka dan mendakwa mereka menyanyikan lagu-lagu Ashaari.

"Itu tidak benar," katanya.

"Terdapat juga (lagu) yang kami buat sendiri."

Kerajaan mengharamkan al-Arqam sepuluh tahun lalu berikutan atas dakwaan kegiatan dan ajaran sesatnya menggugat ketenteraman negara.

Pengikutnya kemudian didakwa masih berpegang dengan ajarannya dan berselinding di sebalik sebuah perniagaan Rufaqa Corporatian yang kemudiannya turut diharamkan.

http://www.malaysiakini.com/news/93320




Malu perisai remaja terjebak perbuatan tak bermoral

Oleh Aminudin Mansor

Perasaan aib separuh daripada iman, mampu membentuk generasi berakhlak mulia

SIFAT malu antara sifat yang patut ada dalam diri setiap remaja Islam. Bagaimanapun, sifat malu mesti bertempat kerana kita tidak mahu remaja terhalang mengejar kemajuan oleh sebab sifat malu yang terlalu tebal. Sedihnya, melihat kepada sikap remaja sekarang seakan mereka sudah hilang sifat ini.

malu dapat diistilahkan sebagai berasa aib (hina, rendah) kerana membuat sesuatu yang salah atau tidak sopan, berasa tidak senang melakukan perkara yang dilarang Allah.

Manusia diciptakan Allah dengan sempurna. Sifat yang patut ada dalam diri seseorang insan adalah malu. Buah daripada keampunan Allah adalah rasa malu kepada Allah jika melakukan perbuatan terlarang.


Jika manusia mengetahui Allah sudah memberikan pelbagai kenikmatan kepada mereka seperti mata yang dapat melihat, telinga yang boleh mendengar dan lidah boleh berkata-kata, sepatutnya mereka malu melakukan maksiat dengan nikmat diberikan itu. Jika malu tidak ada dalam diri seseorang, maka itu alamat kehancuran bagi manusia. Hilangnya malu akan menarik pelbagai perbuatan maksiat dan kerosakan di muka bumi.


Bagi remaja, malu adalah segala yang mencegah daripada merosak akhlak. Sikap itu terjadi jika seseorang selalu bergaul dengan orang beriman, berilmu pengetahuan dan mempunyai budi pekerti yang luhur.

Orang yang memiliki rasa malu, apabila melakukan sesuatu yang tidak patut baginya, maka pada wajahnya nampak berubah menjadi pucat lesi sebagai tanda penyesalan terhadap keterlanjuran dilakukan. Ia menunjukkan hati kecilnya hidup, batinnya suci dan bersih.

Sebaliknya, bagi orang yang sudah tidak memiliki rasa malu, dia seronok apabila melakukan perbuatan yang tidak patut dilakukan sekalipun ramai orang mengetahuinya, bahkan bangga menayangkan tingkah laku negatif itu.


Malu diwajibkan oleh agama kerana malu adalah termasuk sebahagian daripada iman. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Malu itu sebahagian daripada iman." (Hadis riwayat Muslim dan At-Tirmidzi dari Ibnu Umar)

Islam mengingatkan umatnya supaya memperhatikan rasa malu, kerana rasa malu termasuk sebahagian daripada iman, juga menjadi sebab terbentuknya akhlak mulia. Apabila hilang rasa malu akan rosaklah akhlaknya.

Dalam hal itu, Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya semua agama itu mempunyai akhlak dan akhlak Islam itu berperangai malu." (Hadis riwayat Imam Malik)

Tokoh Islam, Sulaiman Darani, pernah berkata: "Seseorang yang berbuat sesuatu perbuatan kerana didorong oleh empat sebab: didorong oleh rasa takut, mengharap pahala, mengagungkan Allah, rasa malu. Semulia-mulia mereka ialah orang yang berbuat kerana malu."

Sikap malu bersumber kepada keyakinan bahawa Allah selalu melihat kepadanya pada setiap waktu dan keadaan. Namun, jika malu berbuat kebajikan lebih besar daripada malu berbuat kemaksiatan, mereka akan mendapat balasan daripada Allah.

Kita pernah mendengar peribahasa Melayu yang mengatakan, "Malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan."

Sifat malu seperti itu tidak wajar ada dalam masyarakat kerana disebabkan terlalu pemalu sehingga menyusahkan diri sendiri.

Apa yang ditegaskan ialah sifat malu melakukan sesuatu bertentangan dengan ajaran Islam. Sifat malu seperti itu amat dituntut dalam pendidikan rohani.

Rasulullah SAW adalah seorang yang terlalu baik perangainya, seorang yang mulia akhlaknya, tinggi ketaatan kepada perintah Allah dan selalu menahan diri daripada segala larangan-Nya.

Diriwayatkan daripada Abi Sa'id al-Khudri ia berkata yang maksudnya: "Rasulullah SAW adalah lebih pemalu daripada gadis dalam pingitan. Dan apabila terjadi sesuatu yang tidak disukainya, kami dapat mengenal daripada wajahnya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Kajian ahli psikologi mengatakan, sifat malu dapat membantu membaiki akhlak sementara sifat pemalu yang tidak betul pada tempatnya boleh menjejaskan imej seseorang.

Jika rasa malu pada diri manusia itu sudah hilang, maka secara beransur-ansur keadaannya makin buruk, sifat insannya menurun hingga kepada darjat paling rendah.

Oleh itu, asuhan sejak kecil adalah penting kepada anak supaya mereka memiliki sifat malu yang positif iaitu mengikut ajaran Islam. Tugas ibu bapa penting dalam mendidik anak dengan menanamkan rasa dan sifat malu ini.

Sudah menjadi fitrah kejadian manusia bahawa apabila manusia yang diberi akal sempurna hilang daripadanya sifat malu, maka ia akan menjadi ganas dan bahkan lebih ganas daripada haiwan yang tidak berakal.

Manusia yang hilang rasa malu, akan berbuat semahunya sendiri, tidak mempedulikan adanya aturan dan kesopanan yang ada dalam masyarakat. Tidak hairan jika berlaku gejala bohsia, lari dari rumah, bersekedudukan, terbabit penagihan dadah dan perzinaan.

Remaja hari ini berdepan pelbagai cabaran dan sifat malu mampu mengelakkan diri mereka terjebak perbuatan tidak bermoral. Sifat malu juga mendorong remaja menjaga serta memperbaiki akhlak mereka.

Berbekalkan iman yang kuat serta bimbingan daripada ibu bapa, remaja akan dapat menghindarkan segala perbuatan yang boleh merosakkan diri, bangsa dan negara. Remaja hari ini harapan negara pada masa depan dan pastinya dibahu mereka tertanggung tanggungjawab besar.


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Agama/20081114222429/Article/index_html




Obama presiden Amerika Syarikat

barrack obama 201008 01Calon presiden dari parti Demokrat, Barrack Obama menang untuk menjadi presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat.

Sehingga jam 12.20 tengah hari ini, Obama mendahului dengan kutipan 297 undi berbanding calon Republik, John McCain yang memperoleh 145 undi.

Calon memerlukan sejumlah 270 undi untuk menang.

Kemenangan terbesar bagi Obama ialah apabila beliau diisytiharkan pemenang di Ohio dan Pennsylvania - tempat berlakunya kempen yang paling panas dan sengit antara kedua-dua calon tersebut.

Pemerhati telah meramalkan bahawa McCain sukar untuk menang kerana Obama merupakan calon pilihan pengundi.

Obama dilaporkan mendapat undi di Iowa 7, Ohio 20, New York 31, New Mexico 5, Rhode Island 4, Michigan 17, Minnesota 10, Wisconsin 10, Connecticut 7, Delaware 3, District of Columbia (DC) 3, Illinois 21, Maine* 4, Maryland 10, Massachusetts 12, New Hampshire 4, New Jersey 15, Pennsylvania 21,Vermont 3

McCain pula mendapat 129 undi dari North Dakota 3, Utah 5, Wyoming 3, Louisiana 9, Kansas 6, Texas 34, Georgia 15, Alabama 9, Arkansas 6, Kentucky 8, West Virginia 5, South Carolina 8, Oklahoma 7, Tennessee 11.

* Di 48 negeri dan Washington DC, calon yang memenangi undi popular membolot semua undi EC negeri.

Bagaimanapun Nebraska dan Maine mengadakan sistem untuk mengagihkan undi berkenaan kepada kedua-dua calon.

http://www.malaysiakini.com/news/92476Justify Full




Cadangan Penubuhan Blogger's Club

Perkembangan kemudahan teknologi yang begitu laju menyebab begitu banyak benda-benda baru yang ditemui untuk memenuhi kehidupan manusia dari segi mempercepatkan kerja, memberi hiburan dan lain-lain lagi.


Jika kita tengok dalam kemudahan Information Transfer, ada juga yang memanggil Information Teknologi yang disingkatkan kepada IT. Dari situ sudah banyak kemudahan yang diperolehi seperti Internet yang memudahkan kita menyebar serta menerima maklumat dan berhubungan dengan sesiapa sahaja . Satu lagi yang juga sebahagian daripad IT ialah Multimedia dimana ia adalah satu produk atau cara yang untuk menyampaikan maklumat dengan cara alternative supaya penonton mendapat maklumat dengan mudah kerana persembahan penyampai yang menarik.


Tetapi dalam masa yang sama tidak kurang juga ramai yang menyalahgunakan kemudahan ini dengan perkara-perkara yang tidak bermoral sebagai contoh salah internet ada satu web yang diberi nama www.Youtube.com , web ini membolehkan kita untuk masuk (Upload) rakaman kita dan memudahkan muat turun(Download) video yng kita suka, dengan kebebasan itu ramai yang menyalahgunakan dengan memasukkan video yang tidak bermoral seperti video lucah.


Perkara ini bukan hanya berlaku kepada laman ini sahaja tetapi kesemua produk yang berkaitan dengan Internet ini. Olehyangdemikian pihak Exco Penerangan yang menggerakan unit ALAMedia ini untuk memberi kesedaran untuk mengendalikannya dengan cara yang betul.


Kami memilih untuk menubuhkan Kelab BLOG, dimana sekarang ini produk ini amat popular dalam Negara ini dan agak panas hinggakan boleh dipenjarakan. Kami akan memberi penerangan secukupnya tentang BLOG ini.

Penubuhan kelab ini tidak bermakna kami ingin menubuhkan satu kelab baru yang berdaftar bawah kuis, tetapi hanya satu jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk membimbing dan member kefahaman tentang IT ini.


Kami Nampak kesan positif jika seseorang itu aktif sebagai “Blogger”(Pengendali Blog) ini ialah mereka telah satu langkah kehadapan dalam ilmu celik IT ini, Keduanya mereka akan belajar untuk berfikir baik buruk sesuatu isu dan member pandangan secara professional dengan fakta-fakta yang logik diterima oleh semua pihak, Ketiga Blogger dapat berkongsi pengalaman tentang apa-apa yang mereka tempuhi sepanjang kehidupan dan dijadikan pengajaran,dan seterusnya Blogger dapat berlatih cara untuk menulis dan sentiasa memperbaiki gaya penulisan mereka agar menarik jika dibaca. Mungkin banyak lagi faedah-faedah yang akan didapati dalam BLOG ini.


Insya’Allah kami akan melaksanakan projek ni secara berperingkat seperti kami pilih satu hari dan setiap hari tersebut kami buat untuk pimpinan ALAM, hari lain kepada Ahli seterusnya kepada pimpinan persatuan dalam KUIS dan mungkin ia boleh dikembangkan lagi.


Harapan kami adalah daripada berkat doa kalian agar projek ini dapat dilaksanakan dan mencapai objektif yang diimpikan. Nantikan memo atau pengumuman daripada pihak kami dan ia akan bejalan lancar jika mendapat sokongan daripada pelbgai pihak.



MOHD SYAHIRAN MUHAMMAD

Pengerusi,

Exco Penerangan,

Al-Azhar Members, Masjid Al-Azhar(ALAM)

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor(KUIS)


weblog : http://www.syahiranmuhd.blogspot.com





Sponsored Ads