feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Nikmat Kerahsiaan Yang Menghakis Iman

1092



1092

“Macam Abu Saif sendiri pun pengunjungnya juga bukan semua sukakannya. Ada yang meluat bila nampak nak tunjuk terlebih pandai..serba serbi tahu. Itulah hakikatnya, banyak blogger sekarang menulis pun niat tak betul, nak popular… tunjuk bagus.. Pembaca menilai ikut naluri masing-masing… adakala tepat adakala prejudis. Saya sendiri pun adakalanya begitu bila membaca blog ini (Ummusaif.Com) dan Saifulislam.Com. Sesetengah topik jadi meluat. Bukan sengaja nak meluat… tapi naluri timbul sendiri hasil dari pembacaan…ramai yang begitu.” - petikan komen di Ummusaif.Com.

Saya tidak berhajat mahu memberi sebarang ulasan tentang isi kandungan komen di atas. Komen seperti ini datang hampir setiap hari.

Tetapi apa yang ingin disentuh adalah tentang satu persoalan yang boleh menjadi titik muhasabah buat diri saya dan kita semua.

Seandainya penulis komen itu berdiri di hadapan saya, apakah beliau akan bercakap perkara yang sama dengan telus seperti itu?

IDENTITI TERSEMBUNYI

Keunikan medan internet, ialah pada kemudahan menyembunyikan identiti. Kita boleh menulis, memuji, mengkritik, malah menghina dan memfitnah, tanpa perlu bertanggungjawab ke atas apa yang ditulis. Adakalanya apa yang ditulis itu sangat besar kesannya hingga boleh mencetuskan mudarat ke atas mangsa. Tetapi pemangsa tidak perlu peduli tentang hal itu kerana identitinya selamat terselindung, terutamanya apabila komen ditulis dengan identiti dan email yang tidak benar, atau menggunakan perkhidmatan hosting blog percuma seperti di Blogspot dan Wordpress.

Bercakap sesuka hati di internet di sebalik penyamaran identiti memberikan satu bentuk kebebasan yang hampir tidak pernah dikecapi di sepanjang sejarah manusia. Biar pun setiap negara mempunyai akta-akta yang digubal untuk menguruskan kebebasan ini, ruang terbuka yang bebas lagi percuma itu terlalu gergasi untuk ditundukkan oleh sebarang bentuk kawalan.

RACUN YANG MEMUSNAH

Kita sama-sama dapat melihat bagaimana sebuah dinasti pemerintahan, sebuah parti memerintah, sebuah gerakan Islam atau public figure menempuh pengalaman-pengalaman luar biasa yang tidak pernah dialaminya sebelum ini, hingga membawa sebahagiannya menjadi telur di hujung tanduk. Semuanya gara-gara lontaran bicara di medan internet yang sangat besar kesannya kepada pihak yang dituju.

Penyembunyian identiti boleh memberikan rasa gagah yang luar biasa kepada seseorang. Perasaan itu yang sebelum ini lebih ketara dikecapi oleh pembunuh bersiri yang menikmati setiap kemusnahan yang berjaya dilakukannya tanpa pendedahan identiti, kini mampu untuk turut dirasakan oleh mereka yang menulis di internet. Penyembunyian identiti di internet adalah suatu peluang baru yang datang secara percuma untuk kegunaan manusia.

TERSELAMAT?

Tetapi, sejauh manakah seseorang itu terselamat daripada tanggungjawab?

Renungilah sepotong pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ini:

falyaqulkhairan

Daripada Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka berkatalah yang baik-baik atau diam sahaja. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka muliakanlah jirannya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka muliakanlah tetamunya” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Akta-akta masih lemah pada mencari pemangsa.

Namun bagi pemangsa yang Muslim, yang bersyahadah dengan kalimah Tauhid, renungilah amaran Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka berkatalah yang baik-baik atau diam sahaja…”

BERIMAN KEPADA ALLAH

Lupakah dia itu kepada Allah?

Tuhan yang Sami’ dan Basir, yang Maha Mendengar dan Maha Melihat.

Apabila seseorang itu mahu menterjemahkan nafsu amarah, rasa hasad, benci atau apa-apa sahaja ekspresi yang negatif kepada bentuk tulisan, di manakah dia ‘meletakkan Allah di dalam pertimbangan’? Bakal mangsanya tidak akan tahu. Tetapi lupakah dia kepada Tuhan itu?

Tuhan yang Maha Memerhati, Meneliti, Mendengar, lagi Menghitung setiap butir huruf dan perkataan yang diluahkannya?

Seseorang yang beriman kepada Allah tidak akan terlajak menggunakan kebebasan menulis dan penyamaran identiti.

Mangsanya tidak tahu. Tetapi Allah Maha Tahu.

BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT

Setiap kali jari menaip, huruf-huruf yang keluar itu semuanya pasti menjadi satu antara dua. Sama ada ia menjadi pahala yang membekal diri menuju Syurga, atau menjadi butir bara dosa yang menyalakan api Neraka. Tiada yang pergi bagai debu tanpa sebarang nilai.

Dia sudah lupa akan apa yang telah ditulisnya semalam.

Tetapi Allah tidak lupa.

Dosa dan pahala sudah terakam.

Akhirat menanti dengan janji balasan.

Seorang manusia yang meyakini Akhirat sebagai negeri menerima balasan amal, akan berfikir dua kali sebelum jari jemarinya menterjemahkan ekspresi diri kepada tulisan di blog sendiri, di blog orang lain, atau di mana-mana.

KESAN SALAH GUNA

Penyalahgunaan kebebasan beridentiti di internet menimbulkan beberapa kesan yang serius ke atas Iman seseorang. Antaranya:

1. Menyemai sifat tidak bertanggungjawab ke atas perbuatan.
2. Menyemai sifat pengecut kerana tidak berupaya untuk bersemuka menyatakan pendapat.
3. Menyemai sifat Nifaq atau bermuka-muka antara sikap online dan sikap offline.
4. Menghakis imannya kepada Allah.
5. Menghakis imannya kepada Hari Akhirat.

Justeru, beringat-ingatlah kita setiap kali memindahkan rasa kepada kata.

Sama ada ia menjadi pahala, atau berubah menjadi dosa.

Renungi firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

4_114“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” [al-Nisaa' 4: 114]

Bertaqwalah kepada Allah.

Berkatalah yang baik-baik.

Atau diam itu lebih menyelamatkan.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG



0 comments:

Post a Comment

Sponsored Ads